MOSCOW – Rusia akan menutup paip gas utamanya ke Jerman jika barat masih mengharamkan minyak negara itu.
Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak berkata, “penolakan minyak Rusia akan membawa kepada bencana bagi pasaran global”, menyebabkan harga meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$300 setong.
Amerika Syarikat (AS) telah meneroka kemungkinan larangan dengan sekutu-sekutunya cara menghukum Rusia kerana melakukan pencerobohan ke atas Ukraine.
Tetapi Jerman dan Belanda menolak rancangan itu pada hari Isnin.
Kesatuan Eropah (EU) mendapat kira-kira 40% gas dan 30% minyaknya dari Rusia dan tidak mempunyai pengganti mudah jika bekalan terganggu.
Dalam satu ucapan di televisyen Rusia, Novak berkata adalah “mustahil untuk mencari pengganti minyak Rusia dengan cepat di pasaran Eropah”.
“Ia mungkin mengambil masa bertahun dan akan menyebabkan harga lebih mahal bagi pengguna-pengguna Eropah,” tegas beliau.
Merujuk kepada keputusan Jerman bulan lepas untuk membekukan pensijilan Nord Stream 2, saluran paip gas baharu yang menghubungkan kedua-dua negara, beliau menambah, sekatan minyak boleh menyebabkan tindakan balas.
“Kami mempunyai hak untuk mengambil keputusan yang sepadan dan mengenakan sekatan ke atas pengepaman gas melalui saluran paip gas Nord Stream 1,” katanya.
Rusia ialah pengeluar gas asli terbesar dan pengeluar minyak mentah kedua dunia.
Ukraine telah merayu Barat untuk menerima pakai larangan itu, tetapi terdapat kebimbangan ia akan menyebabkan harga melambung tinggi.
Kebimbangan pelabur terhadap sekatan mendorong minyak mentah Brent diniagakan kepada AS$139 setong pada satu sesi pada hari Isnin – paras tertingginya selama hampir 14 tahun. – BBC (https://www.bbc.com/news/business-60656673)