Home Nasional Suspek curi terung miliki senapang angin ditahan

Suspek curi terung miliki senapang angin ditahan

PDRM
Penyamun maut terkena sabit sendiri.- Gambar hiasan.

TANAH MERAH – Penahanan seorang lelaki berusia 27 tahun bagi membantu siasatan kes kecurian buah terung melibatkan kerugian RM3,500 di kawasan Bukit Durian, di sini, turut membawa kepada penemuan selaras senapang angin buatan sendiri dipercayai milik suspek.

Ketua Polis Daerah anah Merah DSP Zainuddin Md Yusuf berkata pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Tanah Merah bersama anggota Balai Polis Gual Ipoh telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Bukit Durian, Gual Ipoh, di sini, petang semalam.

Katanya, dalam serbuan tersebut pihaknya menahan lelaki terbabit dan menemukan sembilan biji bebola besi serta tiga biji dadah jenis pil yaba dalam poket seluar suspek.

“Hasil pemeriksaa  lanjut di dalam rumah tersebut, anggota pasukan berjaya menjumpai selaras senapang angin buatan sendiri bersama 12 biji bebola besi dan satu tabung gas kompresor peti ais yang telah diubah suai menjadi pam angin.

“Turut ditemukan ialah tiga guni berisi buah terung di kawasan luar rumah suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainuddin berkata suspek yang memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek turut disiasat berkaitan kes kecurian buah terung di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA