Home Politik Andaian Muhyiddin tidak semestinya betul – Najib

Andaian Muhyiddin tidak semestinya betul – Najib

Najib Razak bertemu dengan komuniti Cina ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Medan Selera 568, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2022.

MUAR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gembira dengan pengundi Cina yang kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Lembaga Penasihat BN berkata, sambutan yang diterima beliau kini jauh berbeza dengan sambutan yang diterima beliau pada 2018.

“Setakat ini ada tanda-tanda yang amat mengalakkan misalnya sambutan yang saya dapat pagi ini.

“Saya tak dapat ini (sambutan) pada 2018, itu satu perubahan yang cukup menggalakkan,” kata Najib ketika media selepas program beramah mesra bersama dengan pengundi Cina di Taman Sakeh Baru hari ini.

Hadir sama adalah calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Gan Q’i Ru, calon DUN Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin dan calon DUN Simpang Jeram, Datuk Lokman Md Don.

Pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) pada 2018, BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun.

Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13.

UMNO, tunjang kepada BN hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi, berbanding 88 kerusi pada PRU-13.

MCA menyusut daripada tujuh kepada satu kerusi MIC (4-2).

Dalam pada itu, Najib menyifatkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BN  memenangi PRN Johor jika peratusan undi rendah hanyalah andaian semata-mata.

“Itu andaian dia. Kita merayu kepada semua pengundi untuk balik dan melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Kita tengok kepada keadaan, tak semestinya apa yang dia kata itu benar.

“Yang penting kali ini kita buat pilihan yang tepat dan bijak kerana kita tak nak keadaan yang tak stabil macam pisang berbuah dua kali kalau kita pecah-pecahkan undi nanti kita dapat kerajaan yang tak stabil,” katanya lagi.

Muhyiddin semalam berkata sekiranya peratusan keluar mengundi rendah, ia jelas akan menguntungkan UMNO dan BN.

Ditanya mengenai cadangan beliau untuk berdebat dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin berhubung isu Felda, Najib berkata, cadangan itu belum disahut Muhyiddin.

“Tak ada (sahutan). Soalan saya beri pun dia tak jawab. Jadi tak bolehlah tuduh saya merosakkan Felda.

“Sebab orang Felda tahu saya yang mewarisi daripada Tun Abdul Razak. Takkan saya nak merosakkan Felda,” jawab Najib.

Najib sebelum ini secara terbuka mencabar Muhyiddin berdebat mengenai FELDA.

Ia selepas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar Najib untuk berdebat mengenai isu Felda. – MalaysiaGazette