Home Politik Jangkaan kerusi menang sudah ada, tapi kena simpan dalam kocek dulu –...

Jangkaan kerusi menang sudah ada, tapi kena simpan dalam kocek dulu – Hasni

Hasni Mohammad

PONTIAN – “Ada tetapi kena simpan dalam kocek saya dulu,” itu jawapan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohamad sambil tersenyum.

Beliau berkata demikian apabila ditanya jangkaan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu ini.

Menteri Besar Johor itu bagaimanapun enggan mendedahkan jangkaan jumlah kerusi yang dimenangi itu sebagai satu strategi BN.

Menurut beliau, apa yang penting BN perlu terus mempergiatkan program kempen-kempen parti di semua DUN hingga ke akhir kempen pada Jumaat tengah malam ini.

“Apa yang dilakukan BN ialah untuk memastikan jentera yang bertugas supaya dapat mempertingkatkan kempen mereka di mana tidak ada program yang tidak dilaksanakan.

“Pada masa sama kajian sikap dan sentimen rakyat dipantau dari awal pembubaran hinggalah ke hari ini dan berdasarkan kajian-kajian yang dibuat dan apa yang perlu ketepatan kajian yang dibuat.

“Ini berdasarkan keadaan pertandingan di satu-satu DUN dan isu yang dibangkitkan berbeza antara kawasan yang lain. Ianya bukan gambaran keseluruhan tetapi ada kawasan yang kita fikirkan perlu dipergiatkan lagi program-program kempen,” katanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Madzhir Khalid (kanan) mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua kanan) beramah mesra dengan penerima rumah pada Majlis Cabutan Undi Plot Rumah Taman Dato’ Hajah Fatimah Salim (Parit Makuaseng) di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2022.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Undian Plot Taman Dato’ Hajah Fatimah Salim di Kompleks  Muafakat Sg. Pinggan di Benut di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ditanya ramalan sesetengah pihak BN kini mampu memenangi 30 kerusi DUN berdasarkan perkembangan kempen semasa, Hasni berharap jangkaan itu menjadi kenyataan.

“Harap-harap begitulah,” katanya tersenyum.

Semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional BN Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, BN  mengambil pendekatan berhati-hati dalam membuat jangkaan jumlah kerusi yang akan dimenangi dalam PRN itu.

Jelas beliau, ia berdasarkan keadaan geografi di Johor yang luas dan taburan penduduk yang pelbagai, sekali gus menyukarkan parti itu membuat ramalan. – MalaysiaGazette

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Madzhir Khalid (kiri) mengiringi Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad (dua kanan) menyerahkan replika kunci kepada penerima pada Majlis Cabutan Undi Plot Rumah Taman Dato’ Hajah Fatimah Salim (Parit Makuaseng) di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Johor. Foto FAREEZ FADZIL, 09 MAC 2022.