Home Nasional JAS P.Pinang gempur tapak pelupusan sampah haram di sawah padi

JAS P.Pinang gempur tapak pelupusan sampah haram di sawah padi

Sawah padi dijadikan tapak pelupusan sampah haram di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

SEBERANG JAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menggempur petak sawah padi yang dijadikan sebagai tapak pelupusan sampah haram di Jalan Kubang Semang, Permatang Pauh, di sini.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan pembakaran terbuka di kawasan tersebut pada 15 Februari lalu sebelum melakukan siasatan.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati wujud satu tapak pelupusan haram yang menempatkan sisa pepejal, binaan dan buangan terjadual berhampiran lokasi aduan.

Sharifah Zakiah.

“Selain itu, kita turut menemui 30 bag mengandungi sisa industri telah dilupuskan secara haram di kawasan sawah padi yang terletak di belakang kawasan pembakaran terbuka itu.

“Lanjutan daripada itu, kami telah menjalankan siasatan ke atas beberapa premis di negeri ini sebelum mengenal pasti premis pengeluar buangan tersebut.

“Kita juga mengenal pasti pihak berkaitan iaitu tuan tanah, penyewa serta beberapa pihak lain yang mungkin terlibat dalam kes tersebut sebelum mengadakan perbincangan pihak terlibat menanggung kos pembersihan dan pelupusan di lokasi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kerja-kerja pembersihan dilakukan bermula hari ini.

Tambah beliau, kerja pembersihan dan pelupusan buangan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual kategori SW 204 dan SW408 itu dilakukan bermula hari ini dan dijangka selesai dalam tempoh tujuh hari.

“Anggaran awal kos pelupusan adalah sekitar RM500,000 namun, kos ini boleh meningkat jika lebih banyak buangan dijumpai apabila korekan dibuat.

“Berikutan insiden ini, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 24B akta sama.

“Selain itu, kita juga telah maklumkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai berhubung kewujudan tapak pelupusan haram ini,” tegas beliau.

Anggaran awal kos pelupusan adalah sekitar RM500,000.

Sehubungan itu, JAS Pulau Pinang mengingatkan pihak industri supaya sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 termasuk isu berkaitan pengurusan buangan terjadual.

“Premis pengeluar adalah bertanggungjawab untuk memastikan setiap buangan dihantar hanya ke premis-premis di lesen oleh JAS dan membuat semakan tiap kali penghantaran bagi memastikan buangan tiba sepenuhnya di premis yang sepatutnya.

 

“Pemilik tanah juga diingatkan bahawa mereka juga boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 34B yang membawa hukuman maksima RM500,000 dan mandatori penjara jika didapati pelupusan haram buangan terjadual berlaku manakala bagi pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Sharifah Zakiah. – MalaysiaGazette