JOHOR BAHRU – Perikatan Nasional (PN) diminta menghormati peranan parti-parti lain yang membentuk kerajaan sekarang.
Pengarah Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan sekarang bukan hanya dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sahaja.
Sebaliknya, kerajaan sekarang turut dianggotai oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Barisan Nasional (BN) dan beberapa ahli parlimen bebas yang lain.
”Maknanya, biarpun Kerajaan PN dikuasai Bersatu dan Pas namun PN tidak akan mampu membentuk kerajaan PN dan tidak boleh berbuat apa apa tanpa sokongan yang lain. Ini faktakan?
”Oleh itu? Hormati dan hargailah juga peranan dan jasa pihak lain. PN tidak mungkin boleh mentadbir negara tanpa ada sokongan orang lain,” ujarnya.
Apatah lagi, tambah beliau, Bersatu bertambah bilangan ahli parlimen pun hasil penat lelah parti lain dan tanpa mereka yang melompat ini, Bersatu hanya parti kecil.
Shamsul Anuar mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Radzi Md Jidin yang berkata, pandangan bahawa PN adalah sama dengan Pakatan Harapan (PH) dari segi aspek menunaikan janji bukan satu indikator yang tepat.
Menurut beliau, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah satu-satunya perdana menteri yang terpaksa menguruskan dua krisis serentak – krisis ekonomi dan krisis kesihatan – ekoran penularan Covid-19.
Tambahnya, dalam tempoh 16 bulan PN mentadbir negara, pelbagai rintangan diatasi termasuk penyediaan dan pengurusan vaksin yang mencukupi untuk memastikan jangkitan Covid-19 dalam negara terkawal.
“Gabungan sekarang berbeza dengan Pakatan Harapan dulu. Dulu (waktu PH) macam-macam (masalah), nak buat itu tak boleh ini tak boleh. Bila PN dilantik sebagai perdana menteri, dalam tempoh amat sukar 16 bulan, kita ada trek rekod, dalam tempoh sukar ini, banyak perkara pernah dilaksanakan,” ujarnya.
“Kita perlu ingat, dalam sejarah negara, tidak ada mana-mana perdana menteri yang pernah uruskan dua krisis serentak.
“Carilah, bacalah sejarah, tak ada perdana menteri yang pernah menguruskan dua krisis serentak iaitu krisis ekonomi dan krisis kesihatan,” katanya lagi- MalaysiaGazette