KUALA LUMPUR – Hanya 30 peratus populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima vaksin setakat ini.
Fakta itu menyedihkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memandangkan kadar vaksinasi yang masih rendah meskipun jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat.
Ujar beliau, ibu bapa tidak wajar untuk berterusan menggunakan pendekatan ‘tunggu dan lihat’ dalam situasi sekarang.
“Saya sedih sebab vaksinasi kanak-kanak lima hingga 11 tahun baru mencecah 30 peratus sahaja dan dengan keadaan kes meningkat dalam kalangan kanak-kanak di samping kita melihat kemasukan ke hospital meningkat, kes-kes ke ICU meningkat, ibu bapa masih lagi tidak buat pilihan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak mereka melalui vaksinasi kanak-kanak atau PICKids.
“Saya rasa masa untuk tunggu dan lihat sudah tamat. Kita sudah mula PICKids sejak lebih sebulan dan kita melihat vaksinasi ini selamat memberi perlindungan kepada gejala yang paling serius iaitu ke ICU dan kematian,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Menurut Khairy, jumlah keseluruhan bayi baru lahir hingga kanak-kanak berumur 11 tahun yang telah dijangkiti Covid-19 dari tahun 2022 adalah 7,730 orang kemudian meningkat kepada 379,245 pada tahun 2021.
Bermula Januari tahun ini hingga pertengahan Februari pula, seramai 50,826 orang kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah telah dijangkiti virus berkenaan.
Tambah Khairy, selain terdedah dengan varian Omicron, kanak-kanak yang tidak mempunyai perlindungan vaksinasi turut berisiko untuk mengalami Long Covid.
Justeru beliau menyeru agar ibu bapa membuat keputusan untuk memberikan perlindungan kepada anak-anak yang berusia 11 tahun ke bawah dengan vaksinasi.
“Kanak-kanak juga terdedah dengan Long Covid, syndrom Covid-19 selepas fasa accute jangkitan. Walaupun data terhad buat masa ini, ini merupakan risiko tinggi yang boleh dikurangkan. Long Covid boleh dikurangkan melalui vaksinasi kerana vaksinasi mengurangkan gejala yang serius apabila jangkitan Covid-19 berlaku,” katanya lagi.- MalaysiaGazette