Home Nasional Pemandu van didenda RM2,000 buat laporan palsu hilang kad pengenalan

Pemandu van didenda RM2,000 buat laporan palsu hilang kad pengenalan

pegawai SB memfailkan saman fitnah menerusi peguamnya M Manoharan pada 23 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas diplomat dan pengarah Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Gara-gara membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan kad pengenalan yang kononnya diragut, seorang pemandu van didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas K. Soundararajan, 27, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Soundararajan didakwa memberikan maklumat secara bertulis yang palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan yang sepatutnya tidak dilakukan di Balai Polis Selayang pada 4.50 petang, 4 Mac lepas mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana undang-undang tidak menghalang setiap individu untuk membuat laporan polis, namun laporan itu mestilah benar dan tidak direka-reka.

“Sepatutnya tertuduh tidak mengambil kesempatan dengan membuat laporan palsu daripada didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan,” katanya.

Peguam M. Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana ia merupakan kesalahan kali pertama anak guamnya dan dia tidak akan mengulangi kesalahan itu.

“Punca anak guam saya membuat laporan palsu kerana kehilangan kad pengenalan selain dia juga menanggung keluarga serta ibu bapanya yang uzur dengan bekerja sebagai pemandu van berpendapatan RM1,000 sebulan,” katanya.

Berdasarkan fakta kes tertuduh membuat laporan polis dia diragut dua individu semasa sedang bermain video di telefon bimbitnya dan siasatan mendapati keterangan tertuduh meragukan selain mendapati begnya yang mengandungi dokumen penting sebenarnya telah hilang selepas tertinggal atas bonet kereta.

Tertuduh membuat laporan palsu itu kerana takut dikenakan denda oleh JPN atas kecuaiannya. – Bernama