Home Nasional Sejuta pesakit Indonesia ‘beratur’ mahu masuk Melaka – Exco

Sejuta pesakit Indonesia ‘beratur’ mahu masuk Melaka – Exco

Muhammad Jailani Khamis

MELAKA – Seramai sejuta pelancong kesihatan dari Indonesia akan memasuki Melaka sebaik sahaja pintu sempadan negara dibuka 1 April ini susulan fasa peralihan ke endemik Covid-19.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, kemasukan pesakit dijangka dapat menggantikan kehilangan pendapatan sektor pelancongan negeri ini selama setahun hanya dalam masa sebulan.

Menurutnya, keyakinan itu disuarakan sendiri oleh Timbalan Gabenor Jakarta dan Ketua Daerah Pekanbaru, Indonesia dalam satu pertemuan yang diadakan di Jakarta baru-baru ini.

“Berdasarkan perbincangan khusus dengan Timbalan Gabebor dan wali kota (ketua derah) Pekanbaru, mereka katakan mengikut perkiraan yang konservatif, bukan optimistik, mereka dah ada satu juta pesakit yang nak masuk Melaka pada bila-bila masa untuk tujuan rawatan.

“Kalau satu juta pelancong ini datang, ini dapat pulihkan ekonomi kita dalam kadar segera, Insya-Allah kurang sebulan kita boleh dapat semula kerugian yang dialami selama setahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ayer Keroh di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Shaari Basiron.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Imigresen Malaysia untuk turut
membuka pintu sempadan antarabangsa melalui jalan laut oleh feri penumpang yang membawa pesakit dari Indonesia.

“Pihak Imigresen pun dalam persiapan post Covid-19 membuka masuk pintu laut ke Melaka melalui feri penumpang yang beroperasi di
Kompleks Kuarantin, Kastam dan Imigresen (CIQ) di Banda Hilir.

“Kalau ada dua laluan antarabangsa pelancong masuk ke Melaka, melalui udara dan laut, ini pastinya dapat merancakkan lagi sektor pelancongan Melaka dan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.- MalaysiaGazette