SINGAPURA – Singapura sedang bekerjasama dengan Malaysia untuk membenarkan pengembara yang lengkap menerima vaksin COVID-19 melintasi sempadan darat melalui mod pengangkutan lain.
CNA melaporkan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) sedang “bekerjasama dengan rakan sejawatan di Malaysia untuk memperluas Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dengan cara yang selamat dan progresif, supaya lebih banyak aktiviti perdagangan, ekonomi dan sosial antara kedua-dua negara dapat disambung semula.”
“Kami akan berkongsi butiran lanjut bila sudah sedia,” lapor CNA memetik kementerian itu.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan akan membuka semula sempadan negara pada 1 April selari dengan perancangan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’
Ketika mengumumkan perkara itu, Ismail Sabri berkata bagi negara yang masih menutup pintu sempadan, rakyat Malaysia boleh memanfaatkan kaedah VTL yang dipersetujui Kerajaan Malaysia dengan negara-negara terbabit.
Pada masa ini, VTL telah dilaksanakan dengan Singapura sejak 29 Nov tahun lepas, melibatkan kedua-dua laluan darat dan udara.
Di bawah VTL darat, pengembara hanya dibenarkan berulang-alik antara republik itu dan Johor Bahru melalui perkhidmatan bas yang ditetapkan merentasi Tambak.
— BERNAMA