Home Nasional 1,021 kertas undi pos dari Singapura selamat tiba di Johor Bahru

1,021 kertas undi pos dari Singapura selamat tiba di Johor Bahru

Undi pos singapura
Sukarelawan Undi 18, Mohd Hafeez A Jazz tiba dari Singapura membawa kertas undi rakyat Malaysia yang berada di Singapura sebanyak 1021 sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 10 MAC 2022.

JOHOR BAHRU -Sejumlah 1,021 kertas undi rakyat Johor yang menetap dan bekerja di Singapura untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selamat tiba di sini kira-kira pujul 1.50 minit petang tadi.

Kertas undi yang disimpan rapi di dalam bagasi tertera logo Suruhanjaya Pilihan Raya itu dibawa oleh sukarelawan 1thirdmedia, Mohd Hafeez A Jaz, 36, dengan menaiki bas melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura.

Mohd Hafeez memulakan perjalanan dari Woodland pada jam 12.40 minit tengah hari.

Sukarelawan Undi 18, Mohd Hafeez A Jazz bercakap kepada media sebaik tiba dari Singapura membawa kertas undi rakyat Malaysia yang berada di Singapura sebanyak 1021 di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 10 MAC 2022.

Beliau juga melalui beberapa prosedur operasi standard (SOP) di pintu sempadan termasuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Larkin Sentral.

Bagasi yang mengandungi kertas undi tersebut telah diserahkan kepada sukarelawan Undi18, Mandeep Singh, 36, tepat pukul 2 petang di terminal bas itu.

Menurut Hafeez lagi apa yang dilakukan tidak dianggap sebagai beban,malah merupakan tanggungjawabnya membantu rakan lain yang berada kota Singa berikutan penutupan sempadan.

“Kita kumpul segala undi dan kita bawa ke sini, ini untuk memudahkan rakyat Johor yang berada di Singapura.

“Saya ambil peluang ini dan saya seronok kerana pertama kali kertas undi di bawa dari VTL darat. Alhamdulilallah saya bertanggungjawab membawa masuk,” katanya ketika ditemui di VTL antara Malaysia-Singapura.

Sementara itu, Mandeep menjelaskan tugasnya adalah untuk menyerahkan kertas undi pos tersebut kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, esok.

Sukarelawan Undi 18, Mandeep Singh bercakap kepada media mengenai ketibaan kertas undi rakyat Malaysia dari Singapura di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 10 MAC 2022.

Selasa lepas, dilaporkan sukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia di bawah naungan 1thirdmedia berganding bahu mengumpul kertas undi pos tersebut di sekitar Singapura untuk dihantar ke negeri ini.

Difahamkan kira-kira 5,000 kertas undi pos dikumpul dengan dua penghantaran telah dilaksanakan pada 6 dan 8 Mac lepas dan penghantaran terakhir akan dibuat pada hari ini.

Untuk tiga hari pertama sejak 1 Mac, SPR dilaporkan telah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada yang layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.

Daripada jumlah itu, sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara.-MalaysiaGazette