Home Pendapat Apa had sensitiviti lawak penyakit mental?

Apa had sensitiviti lawak penyakit mental?

Impak kecelaruan mental cukup besar. Gambar hiasan

KEMURUNGAN major, skizofrenia dan masalah psikosis, masalah kecelaruan obsesif-kompulsif (OCD), kecenderungan, idea, rancangan dan tindakan bunuh diri; adakah kesemua masalah kesihatan mental ini boleh dibuat bahan lawak? Jawapan mudahnya ialah tidak. Masalah-masalah yang disebutkan di atas mempunyai impak yang besar terhadap orang yang menderita masalah kesihatan mental tersebut.

Malah penjaga, ahli keluarga dan rakan-rakan mereka juga terkesan akibat masalah-masalah ini. Sebagaimana kita tidak sesuka hati membuat lawak seperti mengatakan, “Padan muka kau kena Covid!” kepada orang yang dijangkiti penyakit tersebut, penyakit mental juga sama seriusnya sehingga kita tidak boleh sewenang-wenangnya membuat lawak tentang penderitaan pesakit masalah mental.

Seriusnya penyakit mental

Sebagai konteks keseriusan masalah ini, pada Januari hingga Julai 2021, sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan di Malaysia (Berita Harian, 10 September 2021). Angka ini menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 143 peratus berbanding tempoh
sama pada tahun sebelumnya. Tidak cukup dengan penderitaan mangsa bunuh diri, dilaporkan juga untuk setiap satu kes bunuh diri, seramai 135 ahli keluarga dan rakan mereka terkesan akibat tindakan mangsa, sama ada daripada segi emosi, sosial dan ekonomi.

Jika istilah ‘terkesan’ tidak cukup serius, paparan tindakan bunuh diri dalam budaya popular (popular culture) juga dipercayai mempunyai kaitan dengan peningkatan kes bunuh diri, seperti yang dipercayai daripada impak drama siri Netflix ‘13 Reasons
Why’ yang bertema masalah kesihatan mental (Vox, 3 Mei 2019). Selain itu, tahap keseriusan masalah kesihatan mental juga bukanlah sesuatu yang bersifat setempat di Malaysia sahaja. Dalam konteks global pula, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa setiap 40 saat, akan ada satu kes bunuh diri.

Bagi pihak yang memahami betapa seriusnya masalah kesihatan mental serta impaknya kepada orang sekeliling penderitanya, memberi contoh satu aspek keseriusan seperti aspek bunuh diri sahaja sudah memadai bagi menggambarkan bahawa masalah kesihatan mental bukanlah bahan lawak. Segala hal yang diceritakan di atas hanyalah sekadar memberi konteks dan hujah statistik yang menggambarkan tidak wajar sama sekali untuk kita melawak dengan hal seserius masalah mental.

Namun pasti pembaca tertanya-tanya, jika sudah dihujahkan secara jelas bahawa masalah penyakit mental bukan bahan lawak, mengapa tajuk artikel ini seolah-olah mahu membincangkan jika masih boleh melawak tentang penyakit mental selagi
mana tidak melepasi had sensitiviti?

Pengalaman saya

Sebelum kita membincangkan kemungkinan ‘grey area’ dalam membuat lawak penyakit mental, rasanya wajar saya ceritakan dahulu pengalaman saya sebelum ini. Saya tidak ingat secara spesifik lawak apa yang sedang saya cuba buat dalam satu
kiriman sama ada di Facebook atau Twitter saya, namun perkara sensitif yang telah saya lakukan ialah saya telah menggunakan ayat yang bunyinya lebih kurang seperti, “Meroyanlah kau lepas ni!”

Lalu seorang rakan saya yang juga aktivis feminisme mengkritik penggunaan perkataan ‘meroyan’ saya seolah-olah saya tidak sensitif dengan penderitaan mangsa masalah mental tersebut. Sebagai seorang yang juga menderita masalah kesihatan mental, saya berfikir, jika lawak yang saya buat itu difikirkan tidak sensitif terhadap penderita kesihatan mental tersebut, maka sepatutnya saya sendiri tidak boleh bermain-main dengan isu sensitif tersebut.

Namun begitu, ramai juga orang-orang di media sosial menggunakan perkataan ‘murung’ dengan agak liberal tanpa memikirkan mungkin hal ini akan menyinggung orang yang benar-benar menderita kemurungan major. Sungguhpun begitu, saya sendiri sebagai penderita masalah kecelaruan rasa hati (mood) yang menyebabkan saya boleh mendapat kemurungan major daripada satu
masa kepada masa yang lain, tidaklah berasa tersinggung dengan orang yang menggunakan perkataan ‘murung’ untuk membuat lawak di media sosial.

Contohnya ada satu ciapan di Twitter yang menunjukkan gambar sayap kelekatu, kemudian ada seorang pengguna lain yang membalas, “Ini bukan ke benda yang orang letak atas takoyaki tu?” Lalu ada pula orang yang membalas, “Murung aku baca
tweet ni”. Jujurnya, sedikit pun saya tidak rasa tersinggung. Malah saya ikut terhibur dengan rantaian balasan di kiriman Twitter tersebut. Maka persoalannya di sini ialah, apa bezanya atau salahnya saya guna perkataan ‘meroyan’ untuk melawak berbanding orang lain menggunakan perkataan ‘murung’ juga untuk melawak?

Maksud meroyan

Sehubungan itu, saya pun bertindak dengan wajar, iaitu dengan merujuk kepada sumber Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam talian untuk cuba melihat sama ada adakah kedua-dua perkataan ini hanya merujuk kepada masalah kesihatan mental yang spesifik atau boleh juga digunakan dalam konteks lain. Berdasarkan carian pantas di laman DBP, ‘meroyan’ ditakrifkan sebagai menderita sakit sesudah bersalin, dihinggapi royan. Kata akarnya pula iaitu ‘royan’ merujuk kepada sejenis penyakit yang datang pada perempuan sesudah bersalin. Berdasarkan takrifan daripada DBP ini, perkataan ‘meroyan’ ini agak spesifik merujuk kepada suatu masalah selepas bersalin.

Antara masalah psikiatri dan kesihatan mental yang spesifik kepada kes selepas bersalin ialah kecelaruan kemurungan major yang bermula selepas bersalin (major depressive disorder with postpartum onset), adakalanya disertai juga dengan psikosis
yang serius seperti halusinasi mahupun delusi. Dalam kata lain, perkataan ‘meroyan’ ini takrifannya sangat spesifik merujuk kepada penderitaan fizikal dan mental seorang perempuan sesudah bersalin.

Maka berdasarkan takrifan ini, maka tindakan rakan aktivis feminisme itu mengkritik saya semenangnya berdasarkan fakta yang kukuh. Bermakna, perkataan ‘meroyan’ ini tidak boleh dibuat bahan lawak. Malah penggunaan perkataan ‘meroyan’ ini hakikatnya mungkin membawa satu konotasi stereotaip seperti perkataan ‘gila’ dan ‘terencat’, yang mana merupakan perkataan yang hampir haram hukumnya untuk digunakan bagi menggambarkan masalah kesihatan mental.

Maksud murung

Manakala ‘murung’ pula, berdasarkan takrifan DBP membawa dua maksud. Dalam konteks umum, murung boleh membawa maksud sedih, masyghul atau pilu. Maksud kedua pula adalah spesifik dalam bidang psikologi iaitu keadaan apabila seseorang mengalami rasa kecewa dan putus asa yang diiringi dengan gejala seperti sukar tidur, lembap berfikir dan rasa bersalah yang keterlaluan yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Merujuk kepada takrifan di atas, perkataan ‘murung’ jika digunakan sebagai takrifan ‘sedih’ yang mana lebih umum berbanding suatu masalah psikiatri, mungkin tidaklah mendatangkan masalah yang terlalu besar jika kita melawak sedikit sebanyak.
Contohnya jika kita guna perkataan ‘sedih’ untuk melawak sedikit, rasanya tidak akan ada masalah yang melampau sehingga kita dikatakan melawak dengan masalah kesihatan mental yang serius.

Maka, bila agaknya menggunakan perkataan ‘murung’ secara melawak itu suatu yang menghina penderita masalah kesihatan mental? Pada pendapat saya sebagai penderita masalah psikiatri, hal ini akan jadi bermasalah jika kita merendah-rendahkan seseorang yang menggunakan perkataan ‘murung’ untuk menggambarkan dia sebenar-benarnya dalam suatu krisis psikologi.

Contohnya, jika ada sahabat kita bercerita bahawa dia murung akibat gagal peperiksaan sehingga dia tidak mampu tidur, tidak selera makan, tidak mampu memberi tumpuan dalam kelas dan sehingga dibenci ibu bapa, kemudian kita pula melawak dengan mengatakan, “Aku juga murung sebab orang buat air neslo ais aku kurang manis!”. Maka respons ‘murung’ itu dilihat bukan sahaja tidak lawak, malah menghina seseorang yang sebenar-benarnya dalam krisis, dan dilihat kurang cerdik.

Tiga panduan

Kesimpulannya, masalah kesihatan mental yang serius bukanlah suatu yang boleh dijadikan bahan lawak. Namun, jika anda berdepan dengan ‘grey area’ berdasarkan apa yang saya ceritakan di atas, ada tiga panduan yang anda boleh gunakan, sama ada anda sebenarnya membuat kesalahan atau lawak anda hanyalah bersifat lawak biasa yang innocent. Panduan pertama, jika perkataan yang anda gunakan itu memang hakikatnya spesifik merujuk kepada suatu masalah mental dan tiada takrifan lain untuk perkataan itu (seperti perkataan ‘meroyan’), maka jangan gunakan istilah itu untuk melawak.

Panduan kedua, jika perkataan yang anda gunakan itu mempunyai beberapa takrifan umum dan takrifan yang khusus merujuk pada masalah mental serius, cuba rujuk balik, adakah anda sedang menyerang orang dalam krisis, atau anda sedang membincangkan sesuatu dalam konteks yang bukan menyerang orang dalam krisis kesihatan mental. Contoh yang diterangkan di atas ialah untuk perkataan ‘murung’.

Panduan ketiga, jika anda masih tidak pasti dan ragu-ragu sama ada tindakan anda akan menyentuh sensitiviti penderita sakit mental, maka pada pendapat saya, lebih baik tidak perlu buat saja. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Tiada rugi apa pun jika kita tidak buat lawak yang kita ragu-ragu potensi bahayanya itu. Malah kemungkinan lawak itu menyentuh sensitiviti kesihatan mental adalah lebih bahaya hakikatnya. Maka jangan ulangi kesilapan saya, berhati-hatilah dalam berkata-kata.

Wan Salman Wan Sallam
Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia