Home Politik “Cetek sangat pemikiran dia” – Zahid ulas kenyataan pemimpin Pas

“Cetek sangat pemikiran dia” – Zahid ulas kenyataan pemimpin Pas

PRN Johor Ahmad Zahid
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama penduduk yang hadir pada Ceramah Umum BN sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di PDM Sawah Ring, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MAC 2022.

TANGKAK – Kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa Singapura lebih maju berbanding Malaysia kerana republik itu tidak diperintah oleh UMNO ditempelak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegas Presiden UMNO itu, kenyataan tersebut sangat cetek kerana UMNO pernah bertapak di Singapura dan ditukar nama kepada Persatuan Kebangsaan Melayu Singapura.

“Cetek sangat (pemikiran dia), dulu di Singapura ada UMNO dan ditukar kepada PKMS. Kalau kita mahu memperkecilkan pihak lawan saya fikir gunakan alasan yang lebih intelektual. Kalau macam itu Amerika maju kerana tiada UMNO juga atau pun Perancis.

“Jadi Kelantan maju kerana tidak ada UMNO?” soal Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas kenyataan Nik Amar di HarakahDaily iaitu  Singapura lebih maju daripada Malaysia kerana republik itu tidak diperintah oleh UMNO dan BN.

“Ada BN ke di Singapura? Tiada. Ini bermakna, jika tiada UMNO, ia menjadi lebih mudah untuk membangunkan negara. Sehinggakan setiap hari orang Malaysia menyeberangi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura,” kata Amar semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata UMNO enggan melayan alasan kebudak-budakan yang dilemparkan pemimpin Pas.

“Biarlah alasan yang intelektual saya harap perkara itu terlalu remeh untuk saya berikan respon,” katanya lagi. – MalaysiaGazette