Dunia kini berada pada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang mengubah secara total kehidupan manusia dengan teknologi berpaksikan kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT).
IR 4.0 menyebabkan fenomena data raya menjadi norma baharu dan mengubah cara pelaksanaan dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pembuatan dan pemasaran berbanding ketika era digital bermula pada 1950-an.
Kini komputer, telefon bimbit dan internet menjadi satu perkara wajib yang perlu dimiliki oleh setiap individu.
Apa yang menarik, teknologi digital ini juga telah menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar apabila penggunaan kertas dapat dikurangkan, serta sistem pengurusan kumbahan yang lebih cekap dapat dijalankan khususnya bagi mengelakkan pencemaran.
Bukan zaman beratur di kaunter
Satu ketika dahulu adalah mustahil untuk membeli barangan jika tidak ke kedai atau pasar. Malah adalah mustahil untuk membayar bil jika tidak pergi sendiri ke kaunter untuk membuat pembayaran.
Namun kini segalanya boleh dilakukan dengan menggunakan telefon pintar. Segalanya boleh didapati dalam talian dan sekelip mata, apa juga yang diingini boleh dibuat hanya di hujung jari!
Atas hakikat kemodenan era digital ini, syarikat yang bertanggungjawab membangun dan menyelenggara sistem pembetungan yang cekap di Malaysia iaitu Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, juga tidak ketinggalan dalam menyediakan perkhidmatannya selaras dengan kemajuan zaman.
Pengurusan sisa kumbahan yang mencabar
Tahukah anda, IWK sebenarnya menguruskan sejumlah lima bilion liter air sisa kumbahan setiap hari. Jumlah ini bersamaan dengan jumlah air di dalam kira-kira 2,000 buah kolam renang bersaiz Olimpik!
Bukanlah sesuatu yang mudah untuk menguruskan kumbahan bagi lebih daripada 26.5 juta orang dengan jumlah saliran paip pembetungan bawah tanah sepanjang 20,000 kilometer.
IWK mengurus kira-kira 7,000 buah loji rawatan kumbahan yang merawat air kumbahan dengan menyingkirkan sisa berbahaya sebelum melepaskannya ke dalam kitaran air.
Proses ini sangat penting demi memastikan kesihatan awam serta pemeliharaan alam sekitar terus terjaga. Semua ini tidak dapat dilakukan dengan cekap jika IWK tidak turut sama mengadaptasikan teknologi digital yang moden dalam operasi harian bagi perkhidmatan mereka.
Hakikatnya, loji-loji rawatan kumbahan IWK beroperasi tanpa henti 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun.
Bayangkan jika air kumbahan ini tidak dirawat dan dilepaskan begitu sahaja. Bayangkan kesannya bukan sahaja kepada kesihatan awam, malah kepada kebersihan serta alam sekitar kita.
Biarpun, tugasan harian yang dijalankan pasukan IWK tergolong di dalam kategori kotor, sukar dan berbahaya, namun dengan peningkatan kepada penggunaan teknologi termasuk sistem pemantaun (SCADA) serta pelbagai inovasi dan penyelidikan yang dijalankan IWK, telah memastikan kecekapan IWK dalam menyediakan perkhidmatannya kepada pengguna.
Namun, semua proses ini memerlukan kos operasi yang tinggi, kerana kos operasi termasuk kos elektrik dan pengambilalihan loji-loji kumbahan awam setiap tahun, tidak dapat dielakkan bagi memastikan pengurusan kumbahan yang cekap di Negara ini.
Jadi, sudah tentu bil yang dibayar pengguna dapat membantu memastikan perkhidmatan IWK dapat diteruskan dengan cekap, biarpun caj yang dikenakan adalah yang terendah di dunia!
Aplikasi Indah Water
Apa yang pasti, IWK terus komited bagi memastikan pengguna sentiasa mendapat perkhidmatan yang terbaik serta sentiasa prihatin dalam memudahkan pelanggan berurusan dengannya.
Melalui aplikasi Indah Water yang boleh dimuat turun di telefon pintar, pengguna boleh memeriksa bill dan membuat pembayaran secara dalam talian tanpa perlu pergi ke kaunter.
Malah, sejak 10 Januari lalu, pengguna juga dapat mengemas kini pembayaran dan boleh mendapat status terkini akaun pembetungan mereka, selepas membuat bayaran bil.
Aplikasi ini juga membenarkan pengguna membuat aduan mengenai perkhidmatan yang diberikan dan mereka boleh menjadi ‘whistle blower’ atau pemberi maklumat jika melihat berlakunya penyelewengan dalam IWK.
Pengguna yang menggunakan tangki septik individu juga boleh memohon perkhidmatan IWK untuk mengosongkan tangki septik mereka melalui permohonan di dalam aplikasi mudah alih ini.
Selain aplikasi Indah Water, pengguna perkhidmatan sistem bersambung boleh mendaftar untuk perkhidmatan e-Bill dan mendapatkan bil pembetungan mereka secara digital bagi menerima bil tepat pada masanya.
Bayangkan jika semua empat juta pelanggan IWK menggunakan e-Bill, berapa banyak kertas yang boleh dijimatkan sekaligus berapa banyak pokok yang boleh diselamatkan daripada ditebang untuk diproses menjadi kertas?
Jadilah pengguna bijak dan selamatkan alam sekitar dengan memuatnaik aplikasi Indah Water dan mendaftar untuk e-Bill di iwk.com.my, hari ini juga! -MalaysiaGazette.