Home Nasional KPM perlu reformasi pendidikan sekolah rendah – Anuar Ahmad

KPM perlu reformasi pendidikan sekolah rendah – Anuar Ahmad

Subject Cluster (KMP) teacher teachers intake vacancy Ministry of Education students school
Mengajar dan mendidik murid sentiasa seronok dan menggembirakan, tetapi langkah sahaja kaki keluar kelas, terus terasa beban menimpa-nimpa.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melaksanakan reformasi terhadap sistem pendidikan bagi sekolah rendah dengan kadar segera.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ini kerana pengubal sistem pendidikan negara perlu serius memahami dengan lebih teliti situasi negatif yang sedang berlaku.

Katanya, ketika ini pendidikan sekolah rendah sedang berhadapan dengan isu kurikulum yang terlalu padat dan banyak, sekali gus menyebabkan guru-guru tidak berupaya melakukan lebih banyak aktiviti yang menyeronokkan dan mengembangkan potensi para pelajar.

“Jika dibandingkan dengan negara yang mempunyai sistem pendidikan yang lebih maju seperti Singapura, Jepun, Australia atau Finland, negara kita didapati mempunyai bilangan mata pelajaran dan silibus yang lebih banyak.

“Pada masa yang sama murid-murid sekolah rendah turut terbeban dengan kerja sekolah di samping telah meningkatkan kesan tekanan emosi dalam diri mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Anuar, pendidikan sekolah rendah perlu dipenuhi dengan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan, aktif dan berupaya meningkatkan motivasi serta rasa ingin tahu murid untuk terus belajar.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Beliau berkata, dalam mereformasikan pendidikan sekolah rendah, terdapat empat matlamat pendidikan asas yang perlu dikuasai dengan baik terutama pada murid Tahap 1 melibatkan Tahun 1, 2 dan 3.

“Matlamat pertama adalah kemahiran ‘3M’ iaitu asas membaca, menulis dan mengira perlu dilaksanakan dalam bentuk aktiviti tanpa menggunakan buku teks. Semua murid perlu menguasai kemahiran 3M dengan baik sebelum tamat tahun enam sekolah rendah.

“Seterusnya, kemahiran komunikasi lisan dwibahasa harus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka dalam bentuk aktiviti tanpa menggunakan buku teks.

“Tahap pencapaian mereka akan diukur apabila semua murid fasih bertutur dalam dua bahasa sebelum tamat pendidikan sekolah rendah,” ujarnya.

Tambah Anuar, bimbingan asas amalan agama, moral dan adab juga perlu diperkasakan melalui bentuk aktiviti dan bimbingan tanpa perlu menguasai buku teks.

“Menerusi kaedah ini, murid beragama Islam mampu menguasai ibadah wajib dengan sempurna. Misalnya, murid boleh mengerjakan solat lima waktu dengan tertib dan bacaan dalam solat yang baik serta memahami sepenuhnya setiap ayat yang dibaca.

“Bagi matlamat pendidikan asas terakhir, bimbingan amalan kesihatan diri dan kecergasan jasmani harus diperkasakan agar pelajar mencapai indeks jisim badan (BMI) ideal sebelum mereka menamatkan persekolahan,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan, sistem pendidikan negara bagi tahap satu sekolah rendah seharusnya memberi fokus kepada empat matlamat utama itu.

Ia bertujuan memberi peluang kepada para pendidik untuk merancang dan melaksanakan pengajaran secara aktiviti bebas yang menyeronokkan murid berasaskan tanpa perlu bergantung pada penggunaan buku teks semata-mata, ujarnya. – MalaysiaGazette