Home Nasional Kuota harian VTL Darat ditambah – Ka Siong

Kuota harian VTL Darat ditambah – Ka Siong

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Foto SYAFIQ AMBAK, 28 MEI 2021.
KUALA LUMPUR – Kuota harian bagi penumpang di bawah inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL Darat) Malaysia-Singapura akan ditambah daripada 2,160 orang kepada 3,420 orang mulai Isnin ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia dilakukan bagi membolehkan lebih ramai penumpang dapat merentasi sempadan Malaysia-Singapura tanpa kuarantin dan lain-lain keperluan yang dikenakan sebelum ini.
“Keputusan ini diambil susulan pengumuman terdahulu yang meningkatkan kapasiti penumpang daripada 50% kepada 100% pada 16 Februari 2022,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, tambah beliau, penjualan tiket bas untuk tambahan kuota harian itu akan bermula esok (11 Mac 2022) bagi perjalanan mulai Isnin ini dan seterusnya.
Menurutnya, pengendali bas yang ditetapkan Malaysia di Terminal Larkin di Johor Bahru akan terus mengendalikan VTL Darat ke Singapura dan dalam masa sama penumpang masih tertakluk kepada keperluan perjalanan VTL Darat sedia ada, termasuk menjalani ujian pra-berlepas (PDT) dan ujian semasa ketibaan (OAT).
Sementara itu, Ka Siong berkata, walaupun Malaysia akan beralih ke fasa endemik bermula 1 April ini dengan beberapa kelonggaran protokol perjalanan, perjanjian VTL Darat dengan Singapura kekal berkuat kuasa sebagai perjanjian dua hala antara kedua-dua kerajaan untuk terus memastikan keselamatan yang lebih baik bagi perjalanan darat ke dan dari Tambak Johor.
Ujarnya, perjanjian dua hala itu akan diteliti dari semasa ke semasa oleh kedua-dua negara dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kelak. – MalaysiaGazette