PAGOH – Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengeluarkan sebanyak lima kompaun kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu hanya satu kompuan telah diserahkan kepada pegawai Najib.
Manakala empat lagi tidak mahu diterima oleh pegawai beliau.
“Kita sudah keluarkan lima kompaun kepada Datuk Seri Najib hanya satu sahaja yang telah diserahkan, empat lagi pegawai beliau enggan terima kompaun pada 8 Mac,” katanya ketika mengadakan sesi walkabout bersama calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Ismail Mohamad di FELCRA Bukit Kepong, hari ini.
Khairy berkata, kesemua kompaun yang dikeluarkan sehingga 8 Mac lalu itu ketika Najib mengadakan siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor
Kelima-lima kompaun itu diberikan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Khairy berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya untuk menyerahkan empat lagi kompaun tersebut kepada Najib dalam masa terdekat ini.
“Kita kena serah kepada dia dan pastikan dia terima kompaun,” tambah Khairy.
Setakat ini, katanya, KKMÂ berpuas hati dengan kadar pematuhan SOP sepanjang PRN Johor berlangsung.
Malah beliau berharap agar pengundi tidak risau dengan penularan Covid-19 dan keluar mengundi beramai-ramai dengan mematuhi ketetapan KKM.
“Secara keseluruhnya amat baik dan kita telah tambah baik SOP dari semasa ke semasa dan ceramah dibenarkan sehingga 12 tengah malam, dan tidak perlu pakai pelitup muka ketika berceramah.
“Ini semua langkah yang dialu-alukan oleh calon dan parti yang bertanding.
“Kesihatan awam masih lagi dipelihara dan kita telah keluarkan banyak kompaun kepada pemimpin dan parti politik yang tidak mematuhi SOP dan keseluruhannyan saya nampak PRN ini berjalan dengan baik dari sudut SOP kesihatan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette