Home Nasional Penduduk mahu imej Renggam bandar mati digilap

Penduduk mahu imej Renggam bandar mati digilap

Bandar Renggam, Johor.

RENGGAM – “Segera bangunkan bandar Renggam seperti Simpang Renggam”, itu suara yang dibangkitkan oleh penduduk Renggam yang telah menantikan pembangunan di kawasan itu sejak sekian lama.

Anak jati Renggam yang telah menetap selama 80 tahun, Masirun Tumin berkata, sejak dia dilahirkan di situ, pembangunan di bandar itu masih sama dan semakin malap seakan-akan bandar koboi atau bandar mati walaupun masih berpenghuni.

Katanya, biarpun beberapa infrastuktur telah disediakan namun kebajikan atau keperluan dalam usaha menarik anak muda untuk terus menetap di Renggam masih tiada.

“Alhamdulilah dan syukur ada kemajuan sedikit di sini jika dibanding ketika zaman saya kecil sewaktu perang dunia kedua. Keperluan seperti sekolah, klinik kesihatan, bekalan bil air, eletrik, telefon semua disediakan sekarang ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Namun, penduduk lama mahu pembangunan Renggam seiring dengan perubahan zaman, sekurang-kurangnya seperti Simpang Renggam.

“Kita ni rakyat,  ibarat anjing menyalak ditangga sahaja yang mana hanya mampu menyuarakan sahaja, “katanya lagi.

Masirun Tumin, anak jati Renggam.

Masirun juga kesal dengan wakil rakyat yang telah dipilih kerana jarang turun padang berjumpa rakyat selepas mendapat undi.

Disebabkan itu, dakwanya, Renggam sekarang masih seperti bandar koboi, tiada ada apa- apa.

“Cuma ada stadium untuk budak main bola, dewan pula sudah ada sejak 60-an lagi, bangunan kalau dilihat masih sama cuma ada diperbaharui.

“Sampai satu tahap saya kata pada  penduduk di sini tidak kira orang Jawa, Banjar, Cina atau India, kita ni malang duduk sini sebab tiada pembangunan, ditambah pula wakil rakyat pun tidak turun bertemu dengan kami.

“Jika ada pembangunan untuk generasi baharu, anak muda di sini tidak akan keluar dari kampung. Sekarang boleh dikatakan keseluruhan tinggal di Renggam hanya orang tua sahaja, kalau orang muda yang tinggal boleh dikira,” ujarnya.

Husin Badrom, penduduk Renggam.

Sementara itu, penduduk Renggam, Husin Badrom, 62, turut mahu pembangunan perlu dilaksanakan di kawasan itu dan wakil rakyat yang akan dilantik kelak, mereka perlulah selalu turun padang mendekati rakyat.

”Bukan hanya sewaktu berkempen untuk meraih undi semata daripada rakyat, kemudiannya melepaskan tangan tanpa memikirkan keperluan rakyat setempat.

“Bagi saya mengenai calon mereka memang baik dan bagus tetapi kami mahu wakil rakyat  yang aktif turun padang. Kalau boleh ambil berat pasal rakyatlah.

“Harap mereka melawatlah keadaan rakyat yang kesusahan terutama penduduk yang terputus bekalan akibat kuarantin Covid-19.

“Sebagai orang Islam, pegang jawatan itu dengan sebaik mungkin. Kita sebagai rakyat mengundi dengan harapan mereka laksanakan kebajikan dan pembangunan di sini,” katanya.

Norbaizura Hashim, anak muda Renggam.

Bagi anak muda Renggam, Norbaizura Hashim, 38, pula mengharapkan kepada wakil rakyat yang akan diberi mandat kelak diminta untuk membantu perniagaan terutama golongan muda di kawasan itu untuk menggalakkan mereka terus menetap di sana.

Selain itu, perumahan perlu diwujudkan bagi menggalakkan anak muda kembali ke kawasan penempatan itu sekaligus memeriahkan kembali suasana bandar kecil itu.

“Untuk bakal wakil rakyat nanti, kita harap mereka dapat membantu generasi muda sini berniaga terutama dalam kalangan orang Melayu.

“Selain itu, dari segi pembangunan memang tidak nampak, sama sahaja macam dulu. Cuma yang terbaharu kita nampak wujud projek kereta api laju.

“Saya harap kalau boleh wujudkan kawasan perumahan baharu supaya orang ramai boleh datang ke Renggam atau tempat pelancongan untuk mereka ke sini sebab sekarang memang kurang sangat penduduk mahupun kehadiran orang kuar,” ujarnya.

Renggam merupakan bandar kecil yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang dan kini sedang dinaik taraf untuk dijadikan sebuah Bandar Belia Malaysia.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) Johor ini, DUN Layang-Layang berdepan empat penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Mutalib Abd Rahim dicabar oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Mazlee Malik, calon Perikatan Nasional (PN), K. Alagathiran dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ahmad Shafiq Othaman. – MalaysiaGazette