Home Politik Pengeluaran KWSP: Anwar tempelak PSM tak baca menyeluruh

Pengeluaran KWSP: Anwar tempelak PSM tak baca menyeluruh

Anwar ketika berceramah kelompok di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat hari ini

BATU PAHAT – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menempelak pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang menyifatkan keputusan PKR menyokong pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai taktik ‘meraih undi’ bagi menambat hati pengundi untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, pemimpin parti itu mungkin tidak membaca secara menyeluruh kenyataannya berhubung desakan pengeluaran simpanan di akaun tersebut.

Anwar turut menegaskan pendiriannya berhubung perkara itu tidak berubah iaitu kerajaan sepatutnya menanggung kerugian mereka yang terjejas akibat banjir.

“Itulah prinsip dia (kerajaan bantu). Kalau begitu jangan suruh orang ambil simpanan kerana esok lima atau enam tahun dia pencen, dia tiada wang. Jadi itu desakan saya.

“Jadi, nak kata berubah (pendirian) tidak ada. Kita tidak setuju peringkat ini untuk meminta pencarum mengeluarkan wang yang sedikit baki dengan syarat kerajaan membantu ganti rugi, rumah yang rosak, kenderaan dan sebagainya.

“Kalau kerajaan ganti, tak perlu pencarum mengambil wang tersebut,” katanya kepada media selepas mengadakan ceramah kelompok bersama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah dan calon PKR, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Terdahulu, hari ini Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata, kenyataan Anwar dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang berpihak kepada UMNO  menyokong pengeluaran KWSP amat menyedihkan dan membuktikan ahli politik sanggup melakukan apa sahaja bagi memenangi pilihan raya.

Dakwanya, kenyataan pemimpin pembangkang itu juga menunjukkan kegagalan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Semalam, Anwar selaku ketua pembangkang menyokong pengeluaran KWSP setelah mendengar keluhan rakyat dalam siri jelajah kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Presiden PKR itu berkata, pencarum perlu diberi kebenaran itu secepat mungkin tanpa kerenah birokrasi dan kerajaan perlu juga mengambil kira nasib golongan rakyat yang tidak mencarum.

Dalam pada itu Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, pilihan yang ada ketika ini adalah mengeluarkan KWSP selepas kerajaan masih belum berjaya mengatasi kesusahan yang dialami rakyat.

“Soalnya sekarang selepas berbulan berlalu, dah datang banjir kedua, kerajaan ini baru duk fikir dan kaji.

“Orang dah susah dan dalam keadaan sekarang saya kata kalau kamu tak bagi bantuan kepada rakyat, kamu kena benar lah dia cari wang itu.

“Jadi kalau orang tak setuju, nak buat apa sekarang, nak tunggu?” ujarnya. – MalaysiaGazette