Home Nasional Pengundi Endau pacak bendera katak, enggan terima wakil rakyat bermusim

Pengundi Endau pacak bendera katak, enggan terima wakil rakyat bermusim

The frog flags are raised by the residents of Kampung Tenglu, Endau after getting fed up with the seasonal politicians at their area who neglected them.
The frog flags are raised by the residents of Kampung Tenglu, Endau after getting fed up with the seasonal politicians at their area who neglected them. Bendera katak yang dipacakkan penduduk tempatan di Kampung Tenglu, Endau setelah rimas dengan sikap politik bermusim di kawasan mereka yang mengabaikan nasib mereka.

MERSING – Sakit hati dan kecewa dengan sikap ahli politik kawasan yang menjelma lima tahun sekali setelah menaburkan janji manis, pengundi di Dewan Undangan Negeri Endau memacak bendera ‘katak’ bagi memberi amaran kepada parti-parti politik.

Bendera putih dengan simbol katak berwarna hijau melompat dari atas tembok batu merah dipacakkan di tepi jalan Kampung Tenglu, dekat sini.

Tindakan itu merupakan satu mesej bahawa penduduk Mersing kecewa dengan wakil rakyat yang hanya nampak ‘batang hidung’ ketika mahu meraih undi dan meninggalkan pengundi selepas mendapat mandat.

Seorang penduduk Mohd Zam Abdul Rahman berkata,  pengundi Mersing tidak mahu lagi wakil rakyat katak sebaliknya mahukan sistem demokrasi yang ada dipulihkan supaya  rakyat tidak lagi menjadi mangsa.

Mohd Zam Abdul Rahman

Mohd Zam Abdul Rahman berkata, budaya politik untuk kepentingan diri sendiri perlu dibuang dalam sistem demokrasi negara ini.

“Kalau masih ada budaya korup, kroni, pilih kasih atau secara kasarnya ‘kaki jilat’ maka hala tuju rakyat memang tak akan jelas

“Selagi ada budaya kotor ini, yang ruginya rakyat yang mengundi mereka,”  katanya ketika ditemui di Kampung Tenglu Air Papan di sini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Shawal Noordin pula mendakwa, setiap kali berlakunya musim pilihan raya, penduduk akan memerhatikan sahaja permainan politik pemimpin-pemimpin politik ini.

Mohd Shawal

Katanya, yang kerap boleh lihat adalah orang yang pernah menang lima tahun lalu akan membuat kemunculan secara tiba-tiba dengan senyuman untuk meminta undi.

Namun, jika dinilai prestasinya dari selepas pilihan raya umum yang lalu, tak sampai 20 peratus pun janji yang ditunaikan.

“Sebelum dapat pangkat dan jawatan memang macam-macam mereka (ahli politik) janji bulan dan bintang, selepas diisytihar sebagai wakil rakyat, mereka akan datang keesokan pagi untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi. Tapi itulah kelibat akhir dia dan selepas itu tidak akan muncul untuk lima tahun akan datang.

“Sedih dan kecewanya apabila kita pergi jumpa untuk memohon sesuatu bantuan, apapun tak dapat,” keluhnya sambil mewajarkan bendera katak yang dipacak itu.

Tanpa merujuk mana mana individu, beliau dengan tegas menasihatkan ahli politik supaya bangkit dari tidur dan lunaskan keperluan rakyat sebelum memikirkan kehendak diri sendiri mereka.

Seorang pengundi yang merupakan peniaga besi buruk Lim Poo Kher @ Prakash Lim, pula menyifatkan ahli politik sebagai kain lampin pakai buang dan apabila sudah ‘busuk’ perlu  ditukar segera.

 

Prakash Lim

Katanya, jika sampai tempoh tertentu dan ahli politik yang dipilih menjadi wakil rakyat tidak mempunyai inisiatif untuk berkhidmat kepada pengundi setempat maka mereka ini tidak perlu lagi disimpan.

“Itulah gambaran yang kami rasa di sini, kalau boleh seperti mana ‘pampers busuk’ mereka ini perlu ditukarkan supaya tak bertambah busuk,” ujarnya.

Lim turut mengecam situasi politik yang bercelaru apabila pemimpin saling hentam-menghentam antara satu sama lain hinggakan hubungan silaturralim antara mereka juga berpecah.

“Ini adalah realiti yang memalukan, sebagai rakyat saya berharap situasi ini dapat diperbaiki dan keadaan kembali normal,” tambahnya.

Ditanya apa yang menjadi keutamaan oleh ahli politik yang dimahukan penduduk Mersing, Lim berkata, pengundi tempatan mahu wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah penduduk setempat.

“Banyak isu lama yang tidak diselesaikan seperti jalan jambatan, jeti lama. Bayangkan sejak dari saya sekolah rendah sehinggalah saya sudah mempunyai anak berusia tujuh tahu.

“Keadaan jeti tetap tak berubah,” katanya sambil menambah isu tersebut belum termasuk sungai yang tidak didalamkan – MalaysiaGazette