Home Politik Tanam pokok buah-buahan atasi haiwan liar di DUN Semerah – Khuzzan

Tanam pokok buah-buahan atasi haiwan liar di DUN Semerah – Khuzzan

Khuzzan Abu Bakar

BATU PAHAT – Penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar memiliki penyelesaian jangka pendek untuk menangani rungutan penduduk di beberapa buah kampung di kawasan itu berhubung serangan haiwan liar.

Calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu berkata, masalah yang berlaku di kawasan yang ditandinginya dapat diselesaikan jika beberapa kawasan hutan yang terdapat di DUN tersebut ditanam dengan pokok buah-buahan yang menjadi kegemaran haiwan.

Katanya, ketika ini haiwan-haiwan liar itu keluar dari habitatnya disebabkan kekurangan sumber makanan di dalam hutan hingga menggangu komuniti penduduk.

“Kalau monyet, kita tanam pokok pisang hutan, kita nak pastikan ia tak mengganggu masyarakat.

“…begitu juga babi, babi mengorek tanah nak dapatkan ulat, tapi kalau cuma ada pokok kepala sawit saja macam mana dia nak makan…itu yang ia pergi ke halaman rumah orang, korek tanah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakanĀ  bertemu pengundi bersama Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kampung Tambak, Peserai di sini hari ini.

Menurut Khuzzan, menangkap haiwan liar dengan cara memasang perangkap bukanlah jalan penyelesaian yang sesuai.

Dengan memberikan contoh kaedah penggunaan sangkar untuk menangkap monyet, Khuzzan berkata, haiwan tersebut tidak akan mudah masuk perangkap itu jika sudah mengetahui ia berbahaya.

Katanya, langkah untuk membunuh haiwan liar dengan cara menembak pula tidak dibenarkan kerana ia satu kesalahan di bawah lindungan hidupan liar.

“Jadi, cara terbaik memang perlu ditanam pokok buah-buahan agar haiwan-haiwan liar itu bertumpu dalam habitanya semula.

Terdahulu sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan mengenai rungutan penduduk di beberapa buah kampung yang merayu pihak berkuasa bertindak segera menangani masalah ancaman anjing liar, babi hutan dan serangan monyet yang kini semakin mengganas di kawasan mereka.

Ini kerana, ancaman haiwan-haiwan liar itu telah menyebabkan ada dalam kalangan mereka cedera selepas diserang dan ia sangat membahayakan penduduk terutama kepada kanak-kanak.

Rata-rata penduduk yang ditemui mengadu, keadaan itu tidak lagi terkawal sehingga kemunculan haiwan yang tidak diundang itu semakin bertambah.

Masalah yang dihadapi penduduk itu turut mendapat perhatian calon Perikatan Nasional (PN) di DUN itu, Datuk Ariss Samsudin apabila memasukkan perkara tersebut di dalam manifestonya sempena kemben PRN Johor.

Beliau berjanji akan cuba menyelesaikan masalah itu secara serius sekiranya diberi sekali lagiĀ  mandat menjadi wakil rakyat di DUN berkenaan. – MalaysiaGazette

Penduduk DUN Semerah rayu atasi ancaman haiwan liar

Ariss tekad mahu selesaikan isu serangan haiwan liar