Home Nasional Tokong Gua Kelawar berusia 200 tahun terbakar

Tokong Gua Kelawar berusia 200 tahun terbakar

Tokong Gua Kelawar berusia 200 tahun musnah dalam kebakaran di Air Itam, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tokong Gua Kelawar berusia 200 tahun di Jalan Pokok Ceri, Air Itam di sini musnah dalam satu kebakaran pagi tadi.

Insiden jam 1.20 pagi itu disedari pekerja kuari berhampiran sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak bomba.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohamad Helmi Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.25 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Kata beliau, sebaik tiba pihaknya mendapati kebakaran membabitkan Tokong Gua Kelawar dengan anggaran kawasan 20 kaki lebar dan 100 kaki panjang.

Pihak bomba berdepan kesukaran ketika memadamkan api di tokong tersebut.

“Pihak kami berdepan kesukaran memadamkan api berikutan kedudukan rumah ibadat itu terletak di kawasan kampung dan agak jauh daripada pili bomba.

“Kami mengambil masa 10 minit bagi mengawal dan memadamkan kebakaran daripada merebak.

“Hampir 90 peratus tokong itu musnah dalam kebakaran dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Operasi turut dibantu anggota dari BBP Jalan Perak dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera, PBS Paya Terubong, PBS Kampung Pisang dan PBS Bagan Ajam serta Tenaga Nasional Berhad.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.28 pagi. – MalaysiaGazette