Home Nasional Warga emas maut dirempuh motosikal lepas solat Subuh

Warga emas maut dirempuh motosikal lepas solat Subuh

MELAKA – Seorang lelaki warga emas maut dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan di Jalan Limbongan-Tengkera, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Aziz Mohd Noor, 61, ketika itu difahamkan baru pulang menunaikan solat Subuh di surau berhampiran dalam nahas jam 7.15 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sedang melintas jalan dari arah Madrasah Al-Rahmah ke kanan jalan dipercayai selepas solat Subuh.

“Pada masa sama, datang sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 21 tahun dari arah lampu isyarat Tengkera ke Lorong Pandan merempuh mangsa.

“Akibatnya, warga emas itu maut di tempat kejadian dengan kecederaan di beberapa bahagian badan manakala penunggang motosikal turut mengalami luka di tangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Tambahnya, mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat Pegawai Penyiasat Insp R Nitheish Kumarr mengikut Sekysen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987. – MalaysiaGazette