KUALA LUMPUR – Enam pekerja kontraktor lantikan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berada di kawasan kejadian tanah runtuh di Ampang termasuk salah seorang daripada mangsa korban kejadian itu semalam.
Kesemua mereka berada di kawasan kejadian bagi melaksanakan pemeriksaan tapak serta kerja-kerja pembaikan paip injap.
“Sewaktu insiden tersebut, salah seorang daripada pekerja kontraktor lantikan kami telah terperangkap dan tidak berjaya untuk melepaskan diri.
“Susulan usaha mencari dan menyelamat tersebut, mayat mangsa telah dijumpai dan telah dibawa ke Hospital Ampang untuk tujuan bedah siasat,” kata kenyataan Air Selangor hari ini.
Air Selangor berdukacita dan amat mengambil berat atas implikasi insiden tanah runtuh yang telah menimpa semua mangsa khususnya pekerja kontraktor lantikan terbabit yang berada di tapak bagi melaksanakan tugas mereka.
“Di Air Selangor, kami menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan semua warga kerja kami termasuk juga para pekerja kontraktor lantikan kami semasa melakukan tugasan di tapak,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Air Selangor akan terus bekerjasama bersama pihak berkuasa dan pihak yang berkenaan bagi membantu para pekerja kontraktor lantikan yang terkesan susulan insiden ini.- MalaysiaGazette