Home Nasional Bekas pekerja Utusan yang dinafikan hak tidak akan berdiam diri – Taufek

Bekas pekerja Utusan yang dinafikan hak tidak akan berdiam diri – Taufek

Mohd Taufek Razak

KUALA LUMPUR – Seramai 201 bekas ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan Semenanjung Malaysia Peringkat Cawangan Utusan Melayu Bhd yang telah ditamatkan perkhidmatan selepas penutupan operasi syarikat akhbar itu pada 7 Oktober 2019 tidak akan berdiam diri selepas hak mereka dinafikan untuk menerima pampasan.

Sedangkan, pampasan penamatan kerja itu mengikut Perjanjian Kolektif (CA) disahkan melalui Borang Penolakan Bukti Hutang yang diterima pada 4 Mac 2022.

Bekas pengerusinya, Mohd Taufek Razak berkata, NUJ telah memeterai satu perjanjian kolektif bersama dengan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd pada 3 November 2011, yang antara lain manfaat-manfaat boleh dinikmati oleh ahli kesatuan adalah sebagaimana yang terkandung di dalam CA tersebut termasuklah manfaat penamatan.

Jelasnya, walaupun CA yang dimeterai itu diiktiraf oleh Mahkamah Perusahaan pada 2 November 2018, namun ianya seolah-olah sekadar satu perjanjian lusuh yang tidak memberi makna kepada pekerja pekerja Utusan.

”Rata-rata perkembangan ini amat mengecewakan bekas pekerja dan ahli-ahli kesatuan yang telah mencurahkan bakti dan khidmat selama puluhan tahun demi melihat wadah yang telah menjadi penyampai maklumat kepada segenap lapisan masyarakat semenjak sebelum merdeka lagi terus kekal unggul.

”Namun kini, tiada kelihatan mana-mana pihak yang benar-benar ingin membela nasib bekas pekerja Utusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, bekas ahli-ahli NUJ ini akan meneruskan perjuangannya bagi mendapatkan hak sebagai pekerja dan perjuangan ini tentunya memberi kesan kepada ahli keluarga masing-masing demi kelangsungan hidup tambahan di saat-saat kecelaruan
ekonomi yang semakin mencabar.

”Kami tidak akan berdiam diri dan berharap rintihan ini, akan didengar oleh segenap lapisan masyarakat termasuk pemimpin-pemimpin tanah air,” tegas Mohd Taufek.