Home Politik Kestabilan jadi asas segalanya, buat pilihan bijaksana esok – Tok Mat

Kestabilan jadi asas segalanya, buat pilihan bijaksana esok – Tok Mat

Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kestabilan sesebuah negara menjadi asas kepada segalanya, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kalau negara stabil, maka kerajaan akan dapat menumpukan sepenuh tumpuan untuk mengurus negara dengan baik.

Katanya, rakyat akan rasa tenang, tidak sentiasa sahaja merasa gundah gulana.

“Rakyat tenang hidup dalam sejahtera. Ekonomi akan baik. Rakyat tempatan, pengusaha tempatan dan pengusaha luar negara akan mengeluarkan modal dan melabur di tempat kerajaan yang negerinya, kerajaan negaranya stabil.

“Rakyat hidup dalam keadaan tenteram sejahtera dan perkara yang pentingnya, faktor luaran orang melihat negara kita ini negara yang stabil.

“Jadi, rakyat yang akan dapat manfaatnya. Bila negeri atau negara dapat banyak pelaburan, ekonomi meningkat. Peluang pekerjaan baru khususnya untuk anak muda akan banyak. Pendapatan negara dan rakyat akan dapat ditingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, itu tujuan dan asas mengapa kestabilan itu kunci kepada segala-galanya.

“Saya nak merayu kepada semua pengundi Johor buatlah keputusan yang bijaksana, keputusan untuk memilih menubuhkan sebuah kerajaan yang baru untuk lima tahun akan datang.

“Seperti saya sebut, BN telah pun menunjukkan prestasi, kita ada track record. Tidak ada parti lain saya rasa yang boleh rakyat Johor berikan mandat semula.

“Jadi esok, saya minta semua rakyat Johor, pengundi di Johor keluarlah ramai-ramai, berikanlah mandat kepada BN untuk kami menubuhkan kerajaan untuk mengurus negeri Johor dengan sebaik yang mungkin, Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette