Home Utama KKM nafi keluar arahan sedia saluran mengundi bagi kes positif COVID-19

KKM nafi keluar arahan sedia saluran mengundi bagi kes positif COVID-19

PRN Johor SPR
Petugas SPR membuat persiapan menjelang hari pengundian esok sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Daerah Mengundi DUN Maharani di SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 11 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan pernah mengeluarkan arahan mengenai penyediaan saluran mengundi Pilihan Raya Negeri Johor bagi mereka yang positif COVID-19 seperti ditularkan menerusi media sosial.

KKM dalam satu hantaran menerusi laman rasmi Facebook meminta orang ramai supaya mengabaikan rakaman audio yang tular tersebut.

“Sila abaikan rakaman audio ini dan ikuti arahan Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” menurut KKM.

Terdahulu, tular satu rakaman audio berdurasi 1.08 saat yang mendakwa kononnya mereka yang positif COVID-19 boleh mengundi dengan syarat perlu memaklumkan KKM mengenai butiran peribadi seperti nama, alamat dan nombor telefon.

Rakaman audio itu turut mendakwa kenderaan KKM yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) akan membawa pengundi yang positif COVD-19 pergi dan pulang dari pusat mengundi.

— BERNAMA