Home Politik Menjelang hari mengundi, Hasni yakin rakyat kembalikan mandat kepada BN

Menjelang hari mengundi, Hasni yakin rakyat kembalikan mandat kepada BN

PONTIAN – Menjelang hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad yakin para pengundi akan mandat kepada BN kembali menerajui kerajaan negeri Johor.

“Saya yakin kerajaan BN tetap menjadi pilihan rakyat di Johor ini,” katanya kepada pemberita di Kg Parit Dua di Benut hari ini.

Pengerusi BN Johor itu yang ditemui selepas beramah mesra bersama penduduk di sini turut menyeru pengundi-pengundi keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab mengundi esok.

“Kita telah melalui proses kempen selama lebih dua minggu ini. Saya yakin dan percaya bahawa pengundi-pengundi akan membuat keputusan yang akan berakhir dengan satu pembentukan kerajaan yang kukuh,” tambah Hasni.

Selain itu, Hasni juga menyeru pengundi dalam kalangan orang muda di Benut untuk membuat keputusan yang betul demi pembangunan ekonomi yang mampan untuk dinikmati generasi akan datang.

“Kalau orang muda ada idea baik lagi, saya sedia mendengar untuk kebaikan dan pembangunan Benut,” katanya.

BN dan Perikatan Nasional (PN) membariskan seramai 56 calon untuk bertanding di kesemua kerusi DUN pada PRN Johor, manakala Pakatan Harapan, 30 calon; Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), 42 calon; Parti Keadilan Rakyat (PKR), 20; Bebas, 16 calon dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), 7 calon.

Parti Warisan yang pertama kali bertanding di Semenanjung pula membariskan enam calon, Parti Bangsa Malaysia (4 calon) selain masing-masing satu calon bagi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 12 Mac manakala undi awal telah pun disempurnakan pada 8 Mac lalu. – MalaysiaGazette