Home Politik Pemuda UMNO jawab ‘pujian melangit’ Khairil terhadap Muhyiddin

Pemuda UMNO jawab ‘pujian melangit’ Khairil terhadap Muhyiddin

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Al Mahsri

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menjawab ‘pujian melangit’ seorang Ahli Dewan Negara dari Pas terhadap pemimpin kesayangannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri menyifatkan mantan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Senator Khairil Nizam Khirudin sebagai ‘baru keluar gua’.

Menurutnya, mengenai peruntukan RM850 bilion untuk program PRIHATIN dan PEMERKASA+ bawah Muhyiddin, itu adalah duit hasil pemerintah Barisan Nasional (BN).

“Sedarkah Senator Pas itu, Presiden PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) itu (Muhyiddin) bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) mendendangkan “Malaysia bakal muflis” kepada rakyat menjelang PRU-14? Anda lupa?

“Sedarkah senator Pas itu bahawa Presiden PPBM itu mengatakan kononnya kerajaan Persekutuan tidak berduit ketika 22 bulan bersama PH?

“Jadi, dari mana datangnya RM850 bilion tersebut jika bukan BN yang mengumpulnya?” soal beliau menerusi hantara facebooknya.

Khairil Nizam juga menerusi facebooknya dilaporkan mempertahankan Muhyiddin daripada seorang yang lompat dari UMNO dan menubuhkan parti Bersatu sehingga menjadi Perdana Menteri.

Khairil Nizam Khirudin

Tulis beliau, ya betul, Muhyiddin memang ada dosanya kepada UMNO. Sebab itulah UMNO beria berkomplot menjatuhkan beliau daripada menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Apakah beliau dikira berdosa kerana meluluskan pakej-pakej membantu rakyat rakyat menghadapi wabak Covid19 sebanyak RM850b melalui PRIHATIN sehingga PEMERKASA+.

Apakah beliau dikira berdosa kerana menghapuskan RM8.3 bilion hutang-hutang peneroka Felda?

Apakah beliau dikira berdosa kerana menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 400,000 ketika pandemik melalui Majlis Pekerjaan Negara?

“Jawapannya, tidak!,” tulis beliau.

Namun, tulisan bersifat pujian melangit itu dijawab Syed Mohd Johan Rizal dengan menyatakan;

Siapakah yang mengadakan pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh yang panjang sehingga menjadi sebab ekonomi negara dan rakyat merudum?

Puluhan ribu ketua keluarga hilang kerja hingga ada yang angkat bendera putih malah ada yang bunuh diri akibat dikurung separuh masak. Senator Pas itu lupa?

Itu yang dilakukan Presiden PPBM hingga terpaksa berbelanja RM850 bilion sekali gus menaikkan hutang rasmi negara benar-benar mencecah RM1 trilion.

Hampir kering kantung negara, hutang rasmi negara mencanak naik dikerjakan Presiden PPBM, lalu senator Pas itu bertanya “apakah dosa Pengerusi PN itu?”

Mengenai menghapuskan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda, Syed Mohd Johan Rizal berkata, mungkin Presiden PPBM itu menghapuskan hutang berkenaan tetapi ketika berjanji, kenapa tidak diberitahu mengenai tanah kebun peneroka yang dipaksa untuk dikembalikan sebagai syarat hutang dihapuskan?

“Putar belit begitu tidak rugikan peneroka Felda dan generasi-generasi baru Feldakah? Membelit titik peluh peneroka Felda tidak berdosa bagi “agama” Pas?” soalnya lagi.

Beliau juga mempersoalkan Muhyiddin menyediakan 400,000 peluang pekerjaan ketika pandemik.

Katanya, sedarkah bekas Ketua Dewan Pemuda Pas itu bahawa 140,608 individu hilang kerja akibat pandemik Covid-19, termasuk puluhan ribu ketua keluarga?

Sebelum hilang kerja, ramai yang gajinya melebihi RM4,000 dan memiliki pengalaman kerja melebihi 10 tahun, namun selepas PKP separuh masak Presiden PPBM dan mereka mendapat kerja baru, ramai yang hanya ditawar gaji di bawah RM1,500.

“Mereka terpaksa terima akibat tekanan ekonomi keluarga walaupun memiliki ijazah kelas pertama. Adakah peluang pekerjaan Presiden PPBM itu berkesan mengatasi ekonomi rakyat yang koyak teruk?

“Ada dia peduli pada ketua keluarga yang berusia lebih 40 tahun dan hilang kerja namun tiada majikan yang mahu terima akibat gaji akhirnya sebelum ini adalah RM5,000 dan memiliki pengalaman bekerja lebih 15 tahun?

“Lupakah bekas Ketua Dewan Pemuda Pas itu mengenai puluhan ribu penjawat awam yang hilang kerja ketika negara diawal “penjajahan” PH dulu?” soalnya.

Kata beliau, peliknya, senator Pas itu tiba-tiba menuduh kononnya Presiden PPBM enggan campur tangan kes bicara mahkamah pemimpin UMNO.

Padahal, pemimpin UMNO yang terlibat steady menghadiri kes mereka dan melarang kes berkenaan ditarik balik agar kebenaran bagi mereka dapat ditegakkan.

“Lebih pelik, tidak cukup saksi, saksi penting gagal dicari, tanpa bukti kukuh, saksi dikatakan dah jadi “beruang” pun tetap terus didakwa, malah dihukum bersalah? Ini keadilan versi “AbahCow” dan PH?

“Bagaimana pula dengan kes-kes mahkamah pemimpin PPBM, PH dan ex-PH yang tiba-tiba melompat bebas menyokong PN seperti Dr. Xavier serta yang lain-lain itu? Sokong PN maka kes terus lenyap?” soalnya.

Namun, kata Syed Mohd Johan Rizal, sedarkah jurutera itu bahawa Presiden PPBM yang beliau dewa-dewakan itulah yang mengencing rakyat setelah berkuasa 22 bulan.

“Sedarkah Senator Pas itu bahawa “manifesto bukan kitab suci” itu dikarang oleh budak penipu “mansuh PTPTN” dari parti Presiden PPBM yang beliau puja?

“Sedarkah Senator Pas itu bahawa Presiden PPBM itulah antara yang setuju ICERD diratifikasi hingga mencetus himpunan penyatuan ummah yang turut disertai Pas?

“Dan kini setelah dipengaruhi scheme of things dengan sedikit jawatan menteri, tiba-tiba senator Pas lupa daratan dan asal-usulnya?” soalnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ini satu lagi nak tipu rakyat . Hasil mahsul negara beratus juta sehari masuk tanpa henti macam air sungai mengalir . Siapa pun merintah hasil ini tetap masuk . Inilah punca UMNO gila nak jadi kerajaan

Comments are closed.