AMPANG – Polis telah mengenal pasti identiti empat mangsa yang meninggal dunia akibat kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 semalam.
Mangsa pertama adalah pekerja Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), mendiang A. Mahendran berusia 36 tahun.
Tiga lagi mangsa yang meninggal dunia adalah E. Ramadamy Ehinapian, 58, Mohd Saiful Ridzuan Ishak, 37, dan Chong Siew Kim, 85.
Kesemua mereka merupakan penghuni rumah di Taman Bukit Permai 2.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua yang maut disiasat di bawah kes mati mengejut (SDR).
Selain itu, identiti seorang mangsa yang cedera adalah dikenal pasti sebagai Cheng Kim Cheng, 85, yang juga merupakan penghuni dikawasan perumahan berkenaan.
Sementara itu Farouk berkata, pihaknya menyediakan balai bergerak di kawasan perumahan berkenaan bagi memudahkan penghuni yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh semalam membuat laporan polis.
Tambah beliau, pihaknya turut membuat kawalan selama 24 jam bagi memastikan keselamatan rumah-rumah yang dikosongkan buat sementara.
“Selain daripada kawalan keselamatan polis juga menyediakan unit pondok untuk penduduk buat laporan polis jadi penduduk tidak perlu ke balai,” jelasnya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyarankan penghuni 48 buah rumah di taman berkenaan perlu mengosongkan rumah sementara waktu demi faktor keselamatan. – MalaysiaGazette