Home Nasional Polis tumpas sindiket penipuan tiket wayang

Polis tumpas sindiket penipuan tiket wayang

Abdul Majid (kanan) melihat gambar lima suspek sindiket penipuan tiket wayang tidak wujud yang merekrut ejen jualan di Melaka sambil diperhatikan Razali (tengah) dan Sundra.

MELAKA – Polis menumpaskan sindiket penjualan tiket wayang tidak wujud di negara China yang merekrut ejen jualan mereka diĀ  Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, ia susulan risikan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Kontinjen Melaka sebelum menyerbu sebuah rumah banglo yang dijadikan pusat operasi sindiket terbabit 1 Mac lalu.

Menurut beliau, siasatan mendapati, sindiket terbabit yang didalangi lelaki warga China berusia 30 tahun beroperasi di banglo terbabit bersama empat lelaki tempatan yang direkrut sejak bulan lalu sebagai pusat operasi penipuan jualan tiket wayang yang menyasarkan mangsa di negara China.

“Modus operandi sindiket yang didalangi lelaki warga China berusia 30 tahun ini adalah merekrut empat lelaki berusia 25 hingga 30 tahun dengan gaji antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan kononnya menjual tiket wayang kepada mangsa di negara China.

“Siasatan juga mendapati, empat lelaki tempatan terbabit tidak mengetahui kononnya penjualan tiket wayang yang dipromosi kepada pelanggan melalui aplikasi Telegram dan Wechat itu sebenarnya tidak wujud.

“Sebaik sahaja berjaya mendapat bayaran dari mangsa-mangsanya yang diyakinkan empat ejennya itu, suspek utama akan terus menutup nombor akaun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) di Bukit Beruang di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah dan Ketua JSJK, Superintendan E Sundra Rajan.

Mengulas lanjut Abdul Majid berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas telefon bimbit, komputer riba dan peranti data internet mudah alih yang telah dihantar ke Bahagian Forensik JSJK Bukit Aman untuk siasatan lanjut sindiket terbabit.

“Empat lelaki tempatan terbabit dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan manakala suspek utama direman sehingga 21 Mac ini bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen.

“Polis turut memburu seorang wanita warga China berusia 25 tahun yang masih bebas dipercayai ahli sindiket sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Dalam perkembangan sama Abdul Majid berkata, kes tawaran kerja tidak wujud di Melaka bagi tempon Januari sehingga Mac tahun ini menyaksikan peningkatan sehingga 88.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan sentiasa berhubung dengan polis jika terdapat keraguaan kerana bilik gerakan kita beroperasi 24 jam selain pegawai di JSJK yang sentiasa sedia membantu.

“Janganlah mudah percaya dengan pelbagai tawaran termasuk di Facebook bagi mengelak jadi mangsa penipuan,” katanya.- MalaysiaGazette