KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan mangsa kedua wanita warga emas yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, di sini, meninggal dunia malam ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata warga tempatan berusia 80-an itu berjaya dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat pada 9.15 malam tadi.
Beliau berkata mayat wanita itu ditemukan di dalam rumahnya dan telah dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat.
Mohamad Farouk berkata wanita itu dipercayai isteri kepada mangsa pertama berusia 84 tahun yang terselamat dan cedera ringan dalam kejadian tersebut.
“Ketika ini, tiga lagi mangsa lelaki dikhuatiri tertimbus dengan seorang daripada mereka merupakan pekerja Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
“Selain itu, kesemua penduduk di taman berkenaan kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Taman Mega Jaya, di sini sebagai langkah keselamatan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian malam ini.
Mohamad Farouk berkata penduduk boleh memilih sama ada menginap di PPS, hotel atau rumah ahli keluarga yang lain.
Katanya, setakat ini terdapat 15 rumah yang terjejas dan hanya dua rumah yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.
“Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada kawasan ini benar-benar selamat atau sebaliknya. Kerja-kerja penilaian (tanah) sedang dijalankan pihak Jabatan Kerja Raya,” katanya.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa akan diteruskan malam ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis pula berkata setakat ini pihaknya sedang meneliti pergerakan tanah.
“Bomba bersama pejabat daerah akan memantau pergerakan tanah jika terdapat runtuhan lagi namun ia bergantung kepada faktor cuaca,” katanya.
Sementara itu, mangsa ketiga insiden tanah runtuh itu berjaya dibawa keluar pada kira-kira pukul 11 malam dan disahkan telah meninggal dunia.
— BERNAMA