KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, ketika berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Jun 2018, beliau masih belum disiasat dan dikenakan sebarang pertuduhan.
Oleh itu, tegas beliau yang merupakan Presiden UMNO, pertemuan itu dibuat dengan jemputan daripada pihak Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri ketujuh.
“Saya tidak pernah memohon untuk bertemu dengan Dr. Mahathir. Sebaliknya pertemuan tersebut dibuat dengan jemputan dari pihak Dr. Mahathir melalui wakilnya.
“Sehinggakan Dr. Mahathir sanggup mengosongkan jadualnya untuk memberi laluan kepada pertemuan tersebut, sebelum saya berangkat ke Tanah Suci.
“Dan, semasa perjumpaan tersebut, kira-kira bulan Jun 2018, saya belum disiasat atau dikenakan sebarang pertuduhan,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Jadi, kata Ahmad Zahid, adalah tidak munasabah untuk beliau pergi berjumpa dengan Dr. Mahathir pada waktu tersebut dengan niat untuk meminta dilepaskan pertuduhan.
Sedangkan, katanya, tidak ada sebarang pertuduhan pun ke atasnya pada masa tersebut.
“Dalam semua keadaan dan pertemuan, yang berlaku adalah mendesak saya agar membubarkan parti UMNO dan memaksa semua Ahli Parlimen dan pemimpin UMNO untuk menyertai Bersatu.
“Hal ini kerana kedudukan Bersatu sangat lemah dan rapuh dalam Pakatan Harapan (PH).
“Desakan dan paksaan tersebut telah saya tolak dengan tegas. Selagi nyawa dikandung hayat saya terus pertahankan UMNO dan saya tahu Dr. Mahathir tidak akan berdiam diri kerana saya tetap terus mempertahankan UMNO dan menolak permintaannya,” kata beliau.
Sambil merujuk pada satu klip video, Ahmad Zahid meminta rakyat menilai sendiri dan dengar dengan berlapang dada apa yang sebenarnya berlaku.
Klip video berhubung pengakuan Datuk Hamidah Othman, bekas orang kanan dan pengasas parti Bersatu yang antara wakil penting Dr. Mahathir mengatur pertemuan mantan Perdana Menteri itu dengan Ahmad Zahid.
“Dalam klip ringkas itu, ada beberapa perkara penting. Paling penting klip tersebut adalah penjelasan dari individu yang pernah rapat dan merupakan bekas orang kanan Dr. Mahathir sendiri.
“Saya harap, masyarakat di luar sana akan mendengar dan melihat kebenaran ini dan tidak membiarkan diri kita terus dipermainkan dengan fitnah dan sandiwara mereka yang tidak senang dengan UMNO, mereka yang mahu terus menggenggam kuasa dan mereka yang gagal ‘membunuh’ UMNO.
“Fitnah tetap fitnah. Kebenaran akan muncul juga. Marilah kita bersama-sama kalahkan musuh UMNO dalam PRN Johor esok dan PRU akan datang,” tegasnya. – MalaysiaGazette
Orang UMNO pakar klintong pengalaman lebih setengah kurun sebagai modal tipu rakyat .
Hah! Mahathir kalau Dato’ Hamidah tipu, apa lagi saman laaa…haaa dasar mamak Kutty