KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO yakin rakyat Johor sudah cukup matang untuk tidak lagi memilih berasaskan sentimen, hasutan dan kebencian apatah lagi janji-janji palsu.
Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, keyakinan ini bersandarkan situasi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, semasa PRU14, semua parti-parti pesaing bersatu di bawah jenama Pakatan Harapan dengan matlamat sama untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).
Tetapi di PRN Johor, mereka semua berpecah kepada beberapa parti tetapi matlamat masih sama untuk kalahkan UMNO.
Malah, setiap malam ceramah-ceramah mereka hanya menghasut dan memburukkan BN dengan fitnah dan tohmahan.
Sebaliknya, BN berceramah dengan memberi fokuskan agenda mensejahterakan rakyat dengan menawarkan manifesto bertemakan ‘Kestabilan Masa Depan’.
”Moga Allah memberikan kemenangan kepada calon-calon BN yang diketuai calon bakal Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad bagi memastikan agenda rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette