Home Nasional Waris 4 mangsa meninggal dunia akibat tanah runtuh terima RM10,000

Waris 4 mangsa meninggal dunia akibat tanah runtuh terima RM10,000

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap di kejadian tanah runtuh ketika tinjuan Malaysia Gazette diTaman Bukit Permai2 Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 MAC 2022

KUALA LUMPUR – Waris mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh Taman Bukit Permai 2 di Ampang menerima sumbangan RM10,000 daripada kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan bantuan kewangan rumah-rumah lain yang terjejas akibat kejadian berkenaan.

“Kita ada empat mangsa yang meninggal dunia kepada keluarga kita beri RM10,000, untuk rumah nanti dulu kita nak pastikan dulu keadaan selamat.

“Kalau ikut format biasa sebelum ini bantuan sebanyak RM500 nanti saya pertimbangkan balik jika perlu tambahan atau bagaimana,” katanya ketika sidang media selepas melawat tapak kejadian tanah runtuh di sini hari ini.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 semalam telah meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan.

Dalam masa yang sama  sebanyak  15 buah rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Mengulas lanjut Amirudin berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan mengkaji risiko dan tahap keselamatan 48 buah rumah di kawasan itu sama ada ia selamat untuk terus didiami atau tidak.

Justeru beliau berkata, pemilik  48 buah rumah berkenaan diminta untuk mengosongkan rumah sehingga tahap keselamatan diumum.

“Kalau dalam keadaan bencana yang paling penting kita lakukan sekarang kita nak tahu keadaan selamat atau tidak.

“Maksimum lima hari baru kita boleh dapat pastikan mereka boleh kembali ke rumah atau tidak,” tambahnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang ragut empat nyawa