Home Nasional Jumlah keluar mengundi masih rendah, Selamat rayu pengundi tunai tanggungjawab

Jumlah keluar mengundi masih rendah, Selamat rayu pengundi tunai tanggungjawab

Calon Perikatan Nasional (PN) N.39, Tanjung Surat, Selamat Ujud menunjukkan jari yang berdakwat selepas selesai membuang undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Sekolah Kebangsaan LKTP Kledang, Johor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 MAC 2022.

PENAWAR – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N39 Tanjung Surat, Selamat Ujud berharap pengundi muda pulang mengundi dan seterusnya menyumbang undi bagi pembentukan kerajaan baharu di Johor.

Beliau yang tiba jam 9 pagi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaaan LKTP Kledang, Penawar berkata, PRN Johor merupakan peluang terbaik untuk orang muda bersuara dalam memilih wakil rakyat masing-masing.

“Saya yakin pengundi muda akan buat pilihan yang paling tepat untuk masa depan mereka,” katanya

Selamat juga menasihatkan para pengundi muda supaya keluar dari kotak pemikian generasi lama kerana mereka juga bakal menjadi pemimpin pada masa depan.

Beliau yang pernah berkhidmat di sekolah tersebut selama 16 tahun turut mengimbau kenangan mencurahkan ilmu kepada anak bangsa sebelum meninggalkan profesion tersebut untuk menceburi bidang politik.

Mengenai kehadiran pengundi di situ yang agak perlahan, katanya, ia mungkin disebabkan kekangan waktu kerana ada kalangan mereka yang bekerja selain faktor tempat tinggal yang jauh dari pusat mengundi. – MalaysiaGazette