Home Utama Kemenangan BN bukan untuk diraikan – Najib

Kemenangan BN bukan untuk diraikan – Najib

Najib Razak

JOHOR BAHRU – Sokongan padu rakyat Johor kepada Barisan Nasional (BN) tidak perlu diraikan kerana BN mempunyai tanggungjawab besar untuk dipikul selepas ini.

Peringatan itu diberikan oleh Datuk Seri Najib Razak sambil mahu kemenangan BN ini disyukuri dengan penuh rasa rendah diri.

“Bukan keriangan yang perlu diraikan dengan kemenangan ini kerana kita mempunyai tanggungjawab yang perlu dipikul supaya rakyat tidak menyesal memilih BN.

“Kita perlu ingat bahawa Pakatan Harapan pernah diberi tempoh 22 bulan sahaja dan Perikatan Nasional 17 bulan.

“Sudah tentu BN perlu berkhidmat dengan lebih baik lagi daripada itu supaya kita dapat buktikan yang keputusan pengundi hari ini adalah tepat dan betul,” katanya di sini.

Dalam pada itu, Najib turut menolak popularitinya sebagai faktor utama penerimaan semula rakyat Johor kepada BN.

Sebaliknya, Najib dengan rendah hati berkata, beliau juga adalah sebahagian daripada ‘team player BN” yang bekerja keras bagi memastikan pengundi memberi kembali kepercayaan kepada komponen parti ini.

Beliau tanpa berselindung berkata, kemenangan ini memang sudah dijangkakan awal berdasarkan penerimaan yang cukup baik oleh seluruh lapisan rakyat Johor sepanjang kempen PRN.

“Walaupun kempen kita terhad dengan pelbagai prosedur operasi standard Covid-19 tetapi ia tidak menghalang rakyat Johor yang menyambut BN. BN disambut dengan teriakan, dengan penuh ghairah.

“Kalau itu yang ditunjukkan oleh pengundi, saya memang dari awal optimis kemenangan ini, cuma saya takut untuk berkata demikian kecuali simpan di dalam hati kerana bimbang dikatakan angkuh.

“Lebih daripada itu, saya mahu terus fokus berjumpa pengundi, berkempen kerana saya percaya insya Allah pasti ada yang di luar jangka,” tambahnya. – MalaysiaGazette