Home Nasional Pengundi keluar awal tunai tanggungjawab, elak bersesak

Pengundi keluar awal tunai tanggungjawab, elak bersesak

Orang ramai beratur panjang seawal pagi di pusat mengundi DUN Maharani pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di SMK Seri Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2022.

MUAR – Proses pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar bermula tepat pada pukul 8 pagi hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati ramai pengundi sudah pun beratur seawal 7.30 pagi di hadapan pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Ketua tempat mengundi di SMK Sri Muar, Mohd Nazri Md Din berkata, sebanyak lima saluran dibuka di pusat pengundian tersebut membabitkan keseluruhan 2,515 pengundi.

Jelas beliau, Suruhanjaya Piliharan Raya (SPR) turut menyediakan sebuah tempat mengundi khas bagi prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pengundi yang didapati bergejala dengan diselia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sementara itu, sepasang suami isteri yang ditemui meluahkan rasa teruja menjadi antara pengundi terawal di sini.

Pengundi, Prema Jagadeesan bersama suami, Suraj Suppiah merupakan antara pengundi terawal di pusat mengundi SMK Sri Muar, Muar hari ini.

Menurut pesara, Prema Jagadeesan, 60, bersama suaminya, Suraj Suppiah, 60, mereka tiba sejak semalam di pekan Muar bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Kami menetap di Johor Bahru tapi alamat mengundi memang tak pernah ditukar dan masih kekal di Muar memandangkan kami berasal dari sini.

“Kami tiba sejak malam tadi dan menyewa di salah sebuah hotel dan tiba awal bagi mengelak kesesakan orang ramai lebih-lebih lagi ketika ini kes Covid-19 masih lagi tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan pusat mengundi di SMK Sri Muar hari ini.

Tambah Prema lagi, sejurus selesai mengundi, dia bersama suami akan bergegas pulang semula ke Johor Bahru bagi membantu calon Barisan Nasional dari MIC yang bertanding di mukim Tebrau.

Seorang lagi pengundi, Tan Wee Ann, 50, berkata, walaupun agak khuatir dengan jumlah kes Covid-19 yang begitu tinggi ketika ini, namun tanggungjawab sebagai pengundi masih perlu dilaksanakan.

Tan Wee Ann

Wee Ann yang masih bujang itu tiba di pusat mengundi seawal pukul 7.30 pagi dan beratur hampir setengah jam bersama pengundi lain sebelum dibenarkan masuk.

“Memang risau mengenai Covid-19 tapi saya datang awal supaya dapat mengelak daripada bersesak dengan pengundi lain.

“Saya juga mengambil cuti semata-mata untuk keluar mengundi pada hari ini,” katanya yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran.

DUN Maharani yang berada di bawah Parlimen Muar menyaksikan pertandingan enam penjuru di antara Noor Hayati Bachok yang merupakan penyandang dan calon dari Pakatan Harapan dengan calon dari Parti Bangsa Malaysia, Hanis Asmui; Noor Farah Shamsudin (BN), Abdul Aziz Talib (Perikatan Nasional), Riad Ahmad (Parti Pejuang Tanah Air) dan calon bebas, Lim Kim Joo. – MalaysiaGazette