Home Utama PRN Johor: Pusat mengundi ditutup, proses kira undi bermula

PRN Johor: Pusat mengundi ditutup, proses kira undi bermula

PRN Johor
Suasana di sekitar pusat mengundi di Johor pada waktu petang d Perling, Johor Bahru . Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang bermula 8 pagi tadi, tamat selepas 1,021 pusat mengundi ditutup sepenuhnya pada 6 petang ini.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi dari 4,638 saluran dibawa ke 56 pusat penjumlahan undi sebelum keputusan rasmi PRN Johor diumumkan malam ini.

Pada 8 Mac, sebanyak 36,729 kertas undi pos dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan kira-kira 87 peratus atau 18,625 pengundi yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi awal.

PRN Johor kali ini menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seramai 2,539,606 pengundi biasa daripada sejumlah 2,597,742 pemilih berdaftar bagi PRN kali ini layak mengundi hari ini.

Sehingga 4 petang tadi, separuh daripada jumlah pengundi biasa itu melaksanakan tanggungjawab mereka di pusat-pusat pengundian.

PRN Johor kali ini adalah pilihan raya pertama negara yang menyaksikan anak muda keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat pilihan mereka, yang melibatkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Anak muda dibenarkan mengundi susulan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) mendapat mandat membentuk Kerajaan Negeri Johor selepas memenangi 36 kerusi DUN dengan DAP memperoleh 14 kerusi, Parti Amanah Negara (sembilan), PKR (lima) manakala Bersatu (lapan).

Barisan Nasional (BN) mendapat 19 kerusi manakala PAS hanya satu kerusi.

Bagaimanapun, kerajaan PH di Johor jatuh selepas Bersatu mengumumkan keluar daripada PH di peringkat Persekutuan pada 24 Feb 2020.

Susulan itu, Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai parti-parti di bawah BN serta PAS, sekali gus membentuk kerajaan negeri di Johor dengan 29 kerusi.

— BERNAMA