Home Dunia WHO nasihat Ukraine musnahkan patogen dalam makmal elak penularan penyakit

WHO nasihat Ukraine musnahkan patogen dalam makmal elak penularan penyakit

Ibu Pejabat WHO di Geneva

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan Ukraine untuk memusnahkan patogen berisiko tinggi yang ditempatkan di makmal-makmal kesihatan awam negara itu untuk mengelakkan “sebarang potensi tumpahan” yang akan menyebarkan penyakit dalam kalangan penduduk.

Seperti kebanyakan negara lain, Ukraine mempunyai makmal kesihatan awam yang menyelidik cara mengurangkan ancaman penyakit berbahaya yang menjejaskan haiwan dan manusia termasuk, yang terbaharu, Covid-19.

Makmal-makmalnya telah mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan WHO.

Pakar biosekuriti berkata, pergerakan tentera Rusia ke Ukraine dan pengeboman bandar-bandarnya telah meningkatkan risiko patogen penyebab penyakit, sekiranya mana-mana kemudahan tersebut rosak.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan daripada Reuters tentang tugas WHO dengan Ukraine sebelum dan semasa pencerobohan Rusia.

WHO dalam e-mel pada hari Khamis berkata, ia telah bekerjasama dengan makmal kesihatan awam Ukraine selama beberapa tahun untuk mempromosikan amalan keselamatan yang membantu mencegah “pelepasan tidak sengaja atau sengaja
daripada patogen”.

Sebagai sebahagian daripada kerja ini, WHO telah mengesyorkan dengan tegas kepada Kementerian Kesihatan di Ukraine dan badan bertanggungjawab lain untuk memusnahkan patogen berisiko tinggi untuk mencegah sebarang potensi tumpahan,” kata WHO.

WHO, bagaimanapun tidak menyatakan bila ia telah membuat usul itu dan tidak memberikan butiran khusus tentang jenis patogen atau toksin yang ditempatkan di makmal Ukraine.

Keupayaan makmal Ukraine telah menjadi pusat perang maklumat yang semakin meningkat sejak Rusia mula memindahkan tentera ke Ukraine dua minggu lalu. – Reuters (https://www.reuters.com/world/europe/exclusive-who-says-it-advised-ukraine-destroy-pathogens-health-labs-prevent-2022-03-11/)