Home Nasional BN gagal rampas Endau bukan kerana Alwiyah hebat

BN gagal rampas Endau bukan kerana Alwiyah hebat

Mohd Youzaimi Yusof

MERSING – Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau yang menjadi kubu kuat UMNO selama ini kecundang akhirnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung semalam.

UMNO tewas kepada calon parti Perikatan Nasional (PN), Alwiyah Talib yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Mersing sebelum melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas menang atau tiket UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Memang keputusan yang amat mengecewakan.

“Tetapi kemenangan PN bukan sebab calonnya hebat atau berpengaruh sebaliknya UMNO yang salah letak Ketua Umno Bahagian, Mohd Youzaimi Yusof sebagai calon untuk bertanding,” kata bekas ketua kampung Tenglu Besar, Abdul Rahman Hassan ketika ditemua wartawan MalaysiaGazette sejurus selepas keputusan PRN diumumkan.

“Sejak mula nama Youzaimi diumumkan, saya dah mula rasa tak sedap hati untuk UMNO menang pada PRN ini dan perasaan yang sama turut dikongsi oleh kawan-kawan lain.

“Tapi siapalah kami untuk membantah nama calon yang dipilih kerana pilihan dibuat oleh mereka yang duduk dalam jawatankuasa UMNO bahagian.

“Jujurnya, saya memang dah jangka UMNO akan kalah walaupun ramai yang kata parti Melayu terbesar ini mempunyai pengikut yang ramai dan kononnya akar umbi masih kuat di Mersing,” katanya.

Abdul Rahman Hassan

Tambahnya lagi, pengundi kini lebih mengutamakan calon yang mesra rakyat atau mesra alam walaupun lambang parti masih menjadi pilihan.

“Kalau calon bukan dalam kalangan yang popular dari segi ‘mesra’, terpaksalah terima keputusan kalah dengan hati yang kecewa.

“Harap-harap, keputusan ini akan jadi pengajaran buat UMNO agar tidak melakukan kesilapan serupa pada masa akan datang dan sebaiknya kaji latar belakang calon walaupun dia ketua bahagian,” jelas Rahman.

Sebelum ini, penganalisis Felo Ilham Centre Profesor Madya Dr. Hamidin Abd Hamid ada mengingatkan bahawa pemilihan calon bukan pilihan pengundi tidak akan membuahkan hasil.

Beliau menyifatkan kedudukan Youzaimi untuk bertanding di DUN Endau hanya berasaskan kekuatan parti berbanding diri beliau sendiri untuk menakluki semula kawasan itu.

“Berbanding Alwiyah yang sangat mesra rakyat dan sentiasa tersenyum, Youzaimi disifatkan gagal untuk menakluki hati rakyat yang jelas selesa dengan Alwiyah.

Kemenangan Alwiyah juga membawa mesej jelas bahawa pengundi sudah matang dan menilai personaliti calon dan bukannya parti lagi, kata Hamidin. – MalaysiaGazette