Home Politik Kesal segelintir penyokong BN tak beradab dengan PM – Mohd Neezam

Kesal segelintir penyokong BN tak beradab dengan PM – Mohd Neezam

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba bagi mengikuti keputusan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di BN Command Center, Johor Bahru. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 12 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Kemenangan di Johor sedikit tercalar berikutan insiden segelintir kecil penyokong Barisan Nasional (BN) yang tidak beradab kepada Perdana Menteri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Mohd. Neezam Abdul Aziz berkata, ada tindakan sekumpulan penyokong menjerit meminta Parlimen dibubarkan semasa Datuk Seri ismail Sabri Yaakob tiba di Dewan Perhubungan UMNO Negeri, Johor Bahru semalam.

“Hal ini jelas bercanggah dengan budaya UMNO. Parti keramat ini dibina atas rasa hormat dan patuh kepada pemimpin. Jangan sesekali cuba untuk mengeruhkan permuafakatan parti dengan budaya tidak beradab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan berhubung Pilihan Raya ke-15 tertakluk kepada perbincangan pemimpin tertinggi UMNO termasuklah Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Di peringkat akar umbi, kata Mohd. Neezam, janganlah berperangai terlebih sudu dari kuah.

“Hormati peranan dan keputusan pemimpin tertinggi UMNO berhubung apa-apa jua isu. UMNO mengangkat prinsip demokrasi dan turut mengambil kira suara akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan,” ujarnya.

Justeru itu, katanya, gunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangan anda.- MalaysiaGazette