KUALA LUMPUR – Sebanyak 154 kluster Covid-19 dikenal pasti berlaku di pusat jagaan warga emas sejak 25 Januari 2020 hingga 3 Mac tahun ini.
Jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kluster itu penyumbang tertinggi berbanding kluster-kluster kumpulan berisiko lain.
Katanya, warga emas yang berada di pusat jagaan juga terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila penghuni dan penjaga tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Penularan jangkitan Covid-19 dalam pusat jagaan warga emas lebih mudah dan cepat kerana jumlah penghuni yang ramai mengakibatkan kesukaran amalan penjarakan fizikal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas Dr. Noor Hisham, golongan itu lebih berisiko mendapat jangkitan yang boleh membawa kepada kematian berbanding warga emas dalam komuniti.
“Faktor umur, keadaan mereka yang lebih lemah dan pelbagai penyakit kronik yang dihidapi menjadikan mereka paling berisiko untuk mendapat penyakit Covid-19 yang teruk dan memerlukan kemasukan ke hospital serta kebergantungan yang tinggi kepada rawatan intensif,” katanya lagi.
Dr. Noor Hisham berkata, berdasarkan data antarabangsa sebanyak 47 peratus kematian adalah dalam kalangan warga emas yang tinggal di institusi berkediaman.
Sementara itu tambah beliau, sebanyak 367,522 warga emas telah dijangkiti Covid-19 sejak 19 Mac 2020 hingga 9 Mac 2022.
Sebanyak 19,250 kes kematian yang dilaporkan dalam kalangan warga emas dalam tempoh yang sama.
Sehubungan itu katanya, warga emas merupakan kumpulan sasaran utama untuk diberi vaksinasi selepas petugas barisan
hadapan.-
Dr. Noor Hisham berkata, sehingga 9 Mac tahun ini sebanyak 3,355,784 warga emas telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 .
Manakala, 2,472,576 golongan berkenaan telah mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.-MalaysiaGazette