Home Nasional Lelaki pandu kereta curi bertindak agresif ditahan

Lelaki pandu kereta curi bertindak agresif ditahan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kenderaan yang melarikan diri ketika sepasukan anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di Taman Tasik Titiwangsa berjaya ditahan selepas suspek diekori lebih kurang dua kilometer.

Kejadian itu berlaku 12.15 tengah malam semalam apabila dua lelaki sedang parkir kenderaan dalam keadaan mencurigakan di tepi Jalan Kuantan, Kuala Lumpur.

Semasa pihak polis menghampiri kenderaan tersebut sambil memperkenalkan diri sebagai polis untuk tujuan buat pemeriksaan, secara tiba-tiba pemandu tersebut telah bertindak melarikan diri dengan cara pemanduan yang aggresif dan berbahaya hingga menyebabkan kerosakan pada beberapa buah kenderaan serta gerai yang berada di sekitar kawasan tersebut.

Polis yang mengekori kenderaan itu sehingga ia berhenti di Jalan Ayer Embun berdekatan Masjid Ibnu Sina Titiwangsa namun penumpang kenderaan itu berjaya melarikan diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pemeriksaan terhadap tubuh badan suspek menjumpai beberapa barang disyaki hasil kegiatan jenayah.

Manakala semakan ke atas kenderaan yang digunakan oleh suspek didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kenderaan tersebut telah dilaporkan hilang.

Suspek juga didapati mempunyai lapan rekod kesalahan jenayah lampau.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana Kesalahan Menakutkan Penjawat Awam Semasa Menjalankan Tugas, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dari menjalankan tugas serta Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan pengenalan diri semasa pemeriksaan dilakukan.

Orang awam yang menyaksikan kejadian ini serta pemilik kenderaan dan gerai yang telah dilanggar oleh suspek, diminta tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau Pegawai Penyiasat Kanan ASP Chew Lai Chang di talian 012-2749097 dan Pegawai Penyiasat Inspektor Abdul Hakeem Bin Abdullah di talian 012-9225687 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette