MUAR – Melihat kepada gelombang biru yang melanda Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tidak mustahil untuk Kerajaan Persekutuan didominasi Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar Perak itu juga berkata, kemenangan bergaya BN di Johor jelas memberikan signal positif bahawa rakyat akam kembali memilih komponen itu pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang.
“Tidak hanya di Perak tapi seluruh Malaysia barangkali tidak lama lagi nak sampai tempoh penggal ke-14 ini. PRU-15 rakyat akan memilih BN untuk Kerajaan Persekutuan.
“Saya amat yakin Malaysia akan dipimpin kembali oleh BN sebab kita nakkan kerajaan yang kuat dan stabil. Bukan sahaja di Perak di seluruh Malaysia, saya yakin,” katanya kepada media di Kompleks Seri Pekembar, Muar malam tadi.
Mengulas lanjut, Saarani berkata, Putrajaya harus dilihat sebagia sebuah kerajaan yang kukuh dan ia harus dipimpin oleh BN.
“Saya yakin jika ini adalah petanda yang baik di mana rakyat telah memberi kejayaan kerana Kerajaan Persekutuan pun memerlukan sebuah kerajaan yang stabil.
“Sebab sekarang ini Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) datang daripada UMNO, tapi kita faham beliau mewujudkan kerajaan ini daripada perkongsian kuasa beberapa parti yang pada bila-bila masa mereka akan menarik balik sokongan menyebabkan perdana menteri akan jatuh dan hilang kuasa.
“Kita dah tengok apa yang berlaku malam ini di Johor, jelas di luar jangkaan kita sebab kita beranggapan kita boleh menang sekitar 34 kerusi paling tinggi 38 kerusi. Itu petanda jelas rakyat Malaysia berkehendakkan kerajaan yang stabil,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lewat malam tadi mengumumkan BN berjaya memenangi sejumlah 40 daripada daripada 56 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pakatan Harapan (PH) memperoleh 11 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat tiga kerusi dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). – MalaysiaGazette