JOHOR BAHRU – “Saya kan dah kata saya sanggup jadi punching bag asalkan ia merugikan mereka,” kata Datuk Seri Najib Razak ketika ditanya tentang perasaannya yang teruk dimalukan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Namun, Najib secara tenang berkata, ternyata tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak henti-henti menjaja dan mengaibnya namanya menerima akibat yang teruk berdasarkan keputusan PRN Johor semalam.
Menurut bekas perdana menteri itu, pemimpin Perikatan Nasional dan Parti Pejuang Tanahair itu tidak mahu mengambil ikhtibar kekalahan mereka pada pilihan raya kecil dan PRN Melaka.
“Nampak tak mereka tidak belajar di PRK dan PRN Melaka. Mereka buat lagi di Johor,” katanya.
Najib berkata, cara berpolitik mereka itu ditolak habis-habisan oleh rakyat kerana akar umbi tidak suka pemimpin yang tidak beradap, tidak sopan dan suka mengeluarkan perkataan-perkataan yang mengaibkan.
Apatah lagi kenyataan-kenyataan tersebut dikeluarkan oleh bekas perdana menteri.
Ditanya mengapa rakyat tidak suka dengan pemimpin seumpama itu, Najib berkata: “Suruhlah Muhyiddin tanya rakyat sendiri”.
Dalam pada itu, Najib menzahirkan rasa terima kasih yang tidak sehingga kepada pengundi-pengundi Johor yang sudi menerima dan memberi sambutan hangat kepadanya dan seluruh jentera BN sepanjang tempoh 14 hari berkempen.
Najib yang ditanya apakah agaknya menyebabkan beliau diterima baik walaupun namanya diaibkan oleh pemimpin-pemimpin parti lawan, beliau dengan tenang berkata, mungkin rakyat mengenang zaman pentadbiran BN di bawah pimpinannya.
Katanya, rakyat juga menerima baik dasar-dasar yang diperkenalkan dulu.
“Agaknya, masa zaman saya, rakyat senang, perniagaan pun senang. Ekonomi baik dan negara ada kepastian dalam hala tuju,” jawabnya ringkas. – MalaysiaGazette