KUALA LUMPUR – Seramai 5,571 orang perwakilan akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang akan bermula pada Rabu ini.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah itu, seramai 959 orang perwakilan akan menyertai Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO, 971 perwakilan menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda manakala 961 perwakilan terlibat pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.
“Anggaran jumlah perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO adalah 2,680, 61 perwakilan Mahasiswa Nasional juga akan turut menjadikan jumlah berkenaan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Menara Dato Onn.
Beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan PAU UMNO 2021 dan menyampaikan ucapan dasar pada 18 Mac ini.
Jelas Ahmad, PAU kali ini diadakan sepenuhnya secara fizikal dengan kapasiti perwakilan separuh daripada dewan yang digunakan.
“Kita tidak melakukan hibrid tapi ada penjarakan dan guna beberapa buah dewan juga sebab mahu patuh penjarakan fizikal,” tambah beliau.
Selain menasihatkan semua perwakilan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang perhimpunan yang berlangsung pada 16 hingga 19 Mac ini, Ahmad dalam masa yang sama turut menasihati perwakilan supaya membuat ujian kendiri bagi mengelakkan penularan Covid-19.
“Yang hadir perlulah lengkap vaksinasi dan yang bergejala dan positif sememangnya dilarang hadir, perlu ada tanggungjawab sendiri,” katanya.
Difahamkan, sebanyak 53 buah agensi media melibatkan media cetak dan elektronik membabitkan 38 agensi tempatan dan 15 agensi antarabangsa akan membuat liputan pada perhimpunan tersebut.
Ia melibatkan 462 orang petugas media yang telah mendaftar. -MalaysiaGazette