TAIPEI -Sebuah pesawat pejuang Mirage 2000 milik Taiwan terhempas ke dalam laut di luar pantai tenggara pulau itu pada Isnin walaupun juruterbang itu diselamatkan.
Ini adalah insiden kedua membabitkan pesawat tempur dalam tempoh tiga bulan.
Pejabat presiden berkata, pesawat buatan Perancis itu terhempas ketika terlibat dalam misi latihan dari pangkalan udara Chihhang di Taitung.
Juruterbang itu ditemui selamat selepas terjun menggunakan payung terjun.
Siasatan ke atas kejadian sedang dijalankan, tambahnya dalam satu kenyataan.
Taiwan menerima jet Mirage pertamanya pada tahun 1997.
Pada bulan Januari lalu tentera udara menggantung latihan tempur menggunakan F-16nya selepas jet pejuang yang dinaik taraf baru-baru ini juga terhempas ke dalam laut, mengorbankan seorang juruterbang.
Tahun lepas, dua pesawat pejuang F-5E, yang mula berkhidmat di Taiwan pada 1970-an, terhempas ke dalam laut selepas berlanggar di udara semasa misi latihan, juga dari pangkalan udara Chihhang.
Pada akhir 2020, sebuah F-16 hilang sejurus selepas berlepas dari pangkalan udara Hualien di pantai timur Taiwan dalam misi latihan rutin. – Reuters