Home Seni Hidup Mee Siput Kak Chik terkenal kerana sambal istimewanya

Mee Siput Kak Chik terkenal kerana sambal istimewanya

Pengusaha Mee Siput Kak Chik, Md Shahir Meskon bersama isterinya, Azizah Ahmad (kiri) menunjukkan mi siput yang telah siap dimasak ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Sawah Ring, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2022.

TANGKAK – Jika berkunjung ke negeri Johor, mi siput menjadi antara makanan terkenal yang boleh di bawa pulang sebagai buah tangan untuk diberikan kepada kaum keluarga mahu pun rakan.

Secara tradisi, mi siput mentah akan digoreng di dalam minyak yang panas sehingga teksturnya menjadi rangup seperti keropok dan dicicah dengan sambal.

Namun, mi siput ini lebih terkenal dalam kalangan penduduk di bahagian utara Johor serta selatan negeri Melaka dengan nama jolokan lain seperti mi sanggul atau mi keras yang dibezakan mengikut negeri.

Pengusaha Mee Siput Kak Chik, Md Shahir Meskon menyusun mi siput yang telah siap dimasak dan sedia untuk dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Sawah Ring, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2022.

Pengasas Mee Siput Kak Chik, Md Shahir Meskon berkata, mi siput sering dijadikan sebagai snek ketika minum petang atau jajan bagi penduduk tempatan terutamanya di daerah Tangkak dan Muar.

Md Shahir merupakan pengasas bersama perusahaan itu dengan isterinya, Azizah Ahmad atau lebih mesra disapa  Kak Chik oleh penduduk setempat.

Jelas Md Shahir yang merupakan bekas pesara tentera, setiap hari mereka akan menghasilkan kira-kira 50 kilogram mi  atau bersamaan dengan 1,500 keping dengan dibantu oleh empat orang pekerja.

Pengusaha Mee Siput Kak Chik, Md Shahir Meskon menjemur mi siput yang telah dimasak dan dibentuk untuk dikeringkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Sawah Ring, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2022.

Katanya, bahan-bahan asas yang digunakan adalah tepung gandum, tepung sagu, air, garam serta ubat mi atau dikenali sebagai air abu.

“Campuran adunan itu akan diuli sehingga menjadi doh yang keras, apabila siap ia akan dileperkan dan dipotong-potong seperti mi sebelum direbus sehingga masak.

“Apabila mi siput itu sudah masak, kita akan mula mencetak menggunakan pencetak khas berbentuk bulat dan menyusunnya di atas pengalas jaring untuk dijemur di bawah matahari terik.

“Tapi mi siput ini tidak akan kering sepenuhnya di bawah sinaran matahari sebab itu saya reka ketuhar khas menggunakan gas untuk proses pengeringan yang lebih efektif namun mengambil masa yang lama di antara 14 hingga 15 jam,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Kampung Sawah Ring, Gersik  hari ini.

Mengulas lanjut, Md Shahir berkata, kebiasaannya proses pengeringan di dalam ketuhar akan siap sekitar pukul 1 atau 2 pagi dan keesokan harinya produk itu sudah boleh dibungkus atau digoreng.

Tambahnya, produk mi siput yang dihasilkan turut mendapat sambutan hangat dari pelanggan yang berada di luar Johor seperti Kedah, Perlis serta Kuala Lumpur selain pernah dihantar menerusi kiriman udara ke Brunei dan Indonesia.

Selain itu, Md Shahir berkata, ramai pelancong dari luar negara yang berkunjung ke daerah itu pasti singgah ke kilangnya untuk melihat proses pembuatan mi siput.

Pengusaha Mee Siput Kak Chik, Md Shahir Meskon mengisi sambal tumis untuk dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Sawah Ring, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2022.

“Biasanya mi siput ini orang makan sewaktu minum petang, kalau di Tangkak dan Muar ramai pengusaha mi siput dengan pelbagai jenis jenama.

“Namun apa yang istimewa mengenai Mee Siput Kak Chik ini adalah teksturnya yang rangup, tidak terlalu berminyak dan dijual bersama sambal iaitu resipi khas yang direka oleh isteri.

“Kalau orang makan memang mereka tahu itu mi siput dan sambal Kak Chik kerana rasanya yang manis-manis pedas, itu lah yang membuatkan produk kami lebih mendapat tempat di hati pelanggan,” ujarnya.

Menurut Md Shahir, mi siput mentah seberat 400 gram dijual pada harga RM6 sepaket manakala bagi satu kilogram pula berharga RM14.

Katanya, mi siput yang sudah siap digoreng pula akan dijual dengan harga RM1.50 sekeping bersama sambal yang dipek dalam bungkusan kecil.

“Mi siput mentah ini kalau betul cara penyimpanannya boleh tahan sehingga empat hingga lima tahun manakala yang sudah siap digoreng pula boleh bertahan kira-kira sebulan, tapi kita galakkan untuk makan terus jika beli yang sudah digoreng,” katanya.

Mee siput goreng dan mee siput kering beserta sambal tumis sedia untuk dijual ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Sawah Ring, Tangkak, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 14 MAC 2022.

Kata Md Shahir, kebanyakan pelanggan akan terus berkunjung ke rumahnya untuk membeli mi siput namun mereka turut mempunyai ejen-ejen yang menjualnya di negeri-negeri lain.

Kepada mereka yang berminat untuk membeli produk Mee Siput Kak Chik boleh menghubungi mereka di talian 019-6276570 atau 019-6276578. – MalaysiaGazette