Home Nasional Sayu terima ijazah anak

Sayu terima ijazah anak

MELAKA – “Sayunya hati bila melihat ibu bapa lain gembira dapat mencium anak selepas mereka menerima ijazah, tapi bagi kami hanya gambar dalam telefon jadi pengubat rindu,”

Itu diluahkan Chan Geok Bee, 54, ibu kepada graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), mendiang Soh Javid yang meninggal dunia akibat terjatuh di bilik air di rumahnya pada 4 Jun tahun lalu ketika berusia 24 tahun.

Suri rumah itu menerima ijazah daripada Canselor UTeM yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada Majlis Konvokesyen Ke-17 di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal hari ini.

Geok Bee ketika ditemui menyifatkan pemergian anak ketiganya itu daripada empat beradik yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan) Dengan Kepujian sebagai kehilangan besar kepada keluarganya.

“Pada awalnya, saya dan suami Soh Teng Lin, 57, tidak bercadang untuk hadir hari ini kerana masih belum dapat menerima takdir pemergian anak dalam keadaan mengejut hanya disebabkan terjatuh di bilik air di rumah di Bukit Kepong, Muar pada 4 Julai lalu.

“Perasaan gembira dan sedih bercampur baur, apatah lagi mengenangkan mendiang seorang anak yang sangat baik namun tidak sempat mencapai cita-citanya menjadi jurutera teknologi maklumat,” katanya

Ditanya mengenai impian mediang sebelum ini, Geok Bee berkata, anak lelakinya itu pernah bercerita mengenai hasratnya untuk menyara keluarga yang menjual buah.

“Memang sejak kecil, itulah sifat Javid yang bukan sahaja ringan tulang, malah akan berusaha untuk menyenangkan orang disekelilingnya.

“Walaupun sudah lapan bulan dia meninggalkan kami sekeluarga tetapi rasanya seperti baru semalam dan biarlah ijazah ini menjadi bukti penat lelahnya dalam pengajian selama ini,” katanya.

Istiadat Konvokesyen Ke-17 UTeM yang diadakan selama tiga hari melibatkan lapan sesi sehingga Rabu ini menyaksikan seramai 3,275 orang graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing.

Ia melibatkan seramai 61 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), dua graduan menerima Ijazah Doktor Kejuruteraan, 194 graduan (Ijazah Sarjana), 2,525 graduan (Ijazah Sarjana Muda) dan 493 graduan menerima Diploma.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr Zulkifilie Ibrahim,Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM, Masdzarif Mahat.

Pada konvokesyen kali ini UTeM turut memperkenalkan Anugerah Khas Huffaz Profesional yang pertama kalinya diadakan dengan penerimanya adalah seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Dengan Kepujian. – MalaysiaGazette